
BESUT: Pemergian 15 pelajar dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan menuntut ilmu merupakan satu tanda kematian yang baik (husnul khatimah).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ia juga menggambarkan keikhlasan perjuangan menuntut ilmu dalam kalangan generasi muda Islam.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Besut berkata, urusan pengebumian para pelajar terkorban berjalan lancar dengan ribuan umat Islam hadir memberikan penghormatan terakhir.
“Walaupun jenazah tiba sekitar jam 3:00 pagi, ribuan hadir menanti dan menyertai solat jenazah yang diimamkan oleh Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.
“Ini merupakan satu petanda kematian yang mulia, lebih-lebih lagi mereka pergi dalam keadaan sedang menuju ke medan ilmu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa PAS Kawasan Besut juga menyantuni pelajar yang cedera dalam kemalangan tersebut dan yang sedang dirawat di Hospital Gerik, Perak.
“Kita akan sampaikan sumbangan dan bantuan kepada pelajar yang terlibat serta menziarahi keluarga mereka sebagai tanda sokongan moral. Semoga Allah merahmati mereka semua,” katanya.
Dr Riduan turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Besut, Jabatan Amal serta NGO yang membantu membawa pulang jenazah ke Besut dengan penuh tertib dan tanggungjawab.
“Alhamdulillah, kita akan terus memantau keadaan mangsa yang masih menerima rawatan di hospital dan memastikan segala bentuk bantuan dapat disalurkan,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Terengganu turut memberi komitmen untuk membantu para pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib penuntut ilmu.
Dr Riduan turut memohon Kerajaan Madani supaya membaiki segera Jalan Raya Timur-Barat yang semakin teruk tanpa sebarang kerja pembaikan.
Beliau menuntut kerajaan supaya menghargai nyawa rakyat, sedangkan mereka adalah pembayar cukai yang layak untuk mendapatkan kemudahan.
Sementara itu, kesemua 13 jenazah mangsa kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik selamat disolatkan di Masjid Hadhari di sini sekitar jam 3.30 pagi ini. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











