
DUNIA Islam hari ini berdepan pelbagai bentuk cabaran, dari segi perpecahan dalaman sehinggalah kepada ancaman geopolitik yang berterusan.
Di tengah keretakan ini, muncul satu pendekatan yang sejak sekian lama menjadi dambaan para ulama dan gerakan Islam sejati iaitu taqrib al-mazahib, iaitu usaha mendekatkan mazhab-mazhab dalam Islam, khususnya antara Sunni dan Syiah.
Di Malaysia, pendekatan ini sering disalah erti, malah dijadikan bahan polemik yang mengaburi matlamat asalnya iaitu untuk menyatukan umat Islam dalam menghadapi musuh bersama seperti Zionisme, hegemoni Barat dan Islamofobia.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, usaha taqrib ini bukan perkara asing, malah telah lama diperjuangkan oleh tokoh-tokoh besar dunia Islam antaranya Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri.
“Sejarah menunjukkan permusuhan antara Iran sebagai sebuah negara Islam walaupun Syiah bukanlah satu yang baharu sejak lama. Kedudukan raja pemerintah Shah dulu yang dicetuskan oleh Imam Khomeini sehingga Shah jatuh dan diganti dengan jadikan dia sebagai Republik sampai ke hari ini.
“Iran yang saya lihat tak pernah menganggap Barat terutama Amerika dan Yahudi Israel sebagai kawan yang boleh dihubungi dengan pelantikan duta di Israel dan sebagainya.
“Jadi permusuhan ini lama dan Iran selepas Khomeini memerintah di Iran, ada usaha seperti yang diceritakan oleh Presiden kita, ada usaha taqrib al-mazahib, ertinya mendekatkan mazhab-mazahab,” katanya.
Beliau turut menyebut pengalaman menyaksikan sendiri amalan berbeza dalam solat ketika berada di luar negara.
“Saya pernah tengok semasa pergi Makkah waktu sembahyang, dia (penganut syiah) sembahyang nampak dok sekali kita, tetapi sebenarnya orang Syiah dia bagi salam dulu daripada Imam. Menunjukkan dia tak ikut.
“Maka diarahkan oleh Khomeini dalam usaha mendekatkan mazhab-mazhab ini untuk paksakan orang Syiah Iran ikut Imam. Itu usaha yang baik,” ujarnya.
Dalam konteks Malaysia, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ujar Tuan Guru Hashim antara tokoh Islam yang secara konsisten menyeru kepada taqrib al-mazahib, namun dalam kerangka yang berhati-hati dan bersandarkan ilmu.
Tuan Guru sering menegaskan bahawa perbezaan mazhab tidak seharusnya membawa kepada perpecahan politik, apatah lagi peperangan sesama umat.
Di peringkat antarabangsa, Tuan Guru turut mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil gerakan Islam pelbagai mazhab dalam persidangan di Tehran, Istanbul, Doha dan Beirut.
Malah, PAS juga pernah menyatakan pendirian menyokong perjuangan Hizbullah di Lubnan ketika berhadapan dengan pencerobohan Zionis pada 2006, atas dasar solidariti umat Islam, bukan penyokongan membuta tuli terhadap ajaran Syiah.
Menurut Tuan Guru Hashim, pendekatan itu dilihat sebagai langkah diplomasi Islam yang matang, tidak terperangkap dalam naratif Barat yang suka melihat dunia Islam berpecah belah atas nama mazhab.
Hari ini, usaha taqrib al-mazahib semakin mendesak apabila krisis kemanusiaan di Gaza membongkar realiti bahawa dunia Islam masih tidak bersatu.
Iran misalnya, menjadi antara negara yang paling lantang menyokong perjuangan HAMAS, manakala sebahagian negara Arab memilih untuk berdiam diri atau menormalisasi hubungan dengan Israel.
“Sebab itu apabila berlaku pertembungan antara Israel dengan HAMAS, kalau dalam keadaan dulu mungkin Iran tak tolong sebab kita bermusuh tetapi usaha yang dibuat iaitu mendekatkan mazhab tiba-tiba yang dianggap satu ketika dulu sebagai musuh, dia yang kedepan.
“Jadi, sekarang ni apabila ada arahan untuk kita bersatu dan mengenali musuk utama bersama, maka tak heranlah kalau sekiranya PAS ini akhir bersama dengan Iran. Parti kita bersama. Dan kita juga bersama dengan Indonesia, yang tolong di Gaza itu sendiri bersama dengan bantuan-bantuan lain,” katanya lagi.
Ujarnya, usaha tersebut bukanlah satu bentuk mengundur ke belakang dalam perpaduan malahan bergerak ke hadapan.
“Alhamdulillah dalam keadaan sekarang ada negara yang dulunya dianggap musuh dia dok depan menentang Yahudi itu sendiri, ” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











