
KUALA LUMPUR: Serangan Israel terhadap Iran bukan sahaja dijangka lebih awal, malah motifnya juga dilihat pelbagai dan tidak sekata, kata Pakar Kajian Asia Barat, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.
Menurut beliau, Israel sejak April lalu sudah menyatakan kesediaan untuk menyerang Iran pada bila-bila masa, dan tindakan itu kini dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian masyarakat antarabangsa daripada kegagalannya di Gaza.
“Itu satu faktalah. Fakta yang kedua ialah tujuan Israel ini banyak. Yang pertamanya ialah nak ‘attention’ masyarakat daripada apa yang dia buat di Gaza dan telah gagal. Itu satu.
“Yang kedua, dia mempunyai tujuan yang berbeza. Kalau Perdana Menteri sebut dia nak menghapuskan Iran, ada yang sebut sekadar untuk memastikan supaya semua bekalan senjata dan uranium itu dihapuskan. Jadi, nampak sangatlah dari segi tujuannya itu tidak sekata,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Iran balas serangan, buktikan keupayaan
Beliau berkata, tindakan balas Iran selepas serangan Israel menunjukkan kemampuan ketenteraan yang dimilikinya, sekali gus menafikan anggapan bahawa Iran akan lumpuh selepas diserang.
“Apabila diberi tekanan, jangkaan mereka bila serang tak ada balasan daripada Iran kerana tak sangka keupayaan yang dimiliki oleh persenjataan Iran yang telah disimpan begitu lama.
“Kita dapati ada orang menganggap bila Israel serang, habis selesai. Tetapi yang berlaku sebaliknya, iaitu membalas balik. Itu yang sebenarnya berlaku,” jelasnya.
Peperangan kali ini lebih berlarutan
Dr Kamaruzaman berkata, situasi peperangan ketika ini jauh berbeza dengan insiden terdahulu apabila serangan hanya berlaku sekali dan kemudian berakhir seperti yang berlaku di Lubnan dan insiden pembunuhan pemimpin kumpulan pejuang Islam, HAMAS, Ismail Haniyeh.
“Kita dapati serangan itu berlaku secara bertalu-talu dan pengkaji telah buat kesimpulan bahawa mustahil ia boleh selesai dalam masa yang singkat. Sekarang dah masuk hari kelima dan keenam, nampaknya masih lagi berterusan.
“Kita jangka selesai sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu ataupun dua minggu lagi,” terangnya.
Peranan Amerika, perang proksi dan media
Menurut beliau, kebiasaannya serangan yang dilakukan Israel akan berakhir dengan tekanan diplomatik oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjadi orang tengah, sepertimana yang berlaku dalam konflik di Gaza.
“Apa yang dia buat, kita jangka dia akan buat benda yang sama. Tekanan itu sebenarnya bukan dia yang tekan tetapi yang ditekan itu adalah Trump.
“Kerjanya menyerang dan Trump kerjanya memberi tekanan kepada Iran supaya memberhentikan serangan dan bersedia untuk duduk berbincang serta mengadakan gencatan senjata,” dedahnya.
Namun begitu katanya, setakat ini pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta tentera negara itu dilihat masih bersedia untuk meneruskan peperangan.
“Kita dapati yang berlaku ini ialah bagaimana proksi memainkan peranan yang penting, iaitu Amerika membantu Israel. Yang keduanya, perang itu ialah peperangan media juga berlaku.
“Kita dapati seperti tiada maklumat. Tak banyak berita antarabangsa yang memberitahu apa yang telah dimusnahkan oleh Iran di Israel. Yang ada sikit di Haifa dan Tel Aviv. Ceritanya tak banyak berbeza dengan apa yang kita lihat,” ujarnya.
Jelasnya, perang media memainkan peranan penting dan menjadi tanggungjawab semua pihak mendapatkan maklumat yang tepat supaya tidak terpengaruh dengan naratif sebelah pihak.
Beliau turut memberi amaran mengenai kesan ‘domino’ konflik itu yang menimbulkan kebimbangan terutama dalam kalangan kuasa besar.
“Yang paling takut sekali ialah Amerika kerana boleh dikatakan semua pangkalan udara dan laut mereka berada tidak lebih 300 kilometer dari Iran.
“Mereka boleh menyerang tetapi serangan itu tidak akan dapat menghapuskan Iran, sebaliknya menyebabkan Iran bertindak balas dalam jarak yang sangat dekat,” dedahnya lagi.
Katanya lagi, jika Israel perlu masa 10 hingga 15 minit untuk menyerang Iran melalui Jordan, Iran pula boleh melancarkan serangan ke atas pangkalan AS di Iraq, sempadan Turki, Qatar dan Selat Hormuz dalam masa singkat.
Dr Kamaruzaman berkata, beberapa negara Islam seperti Turki, Qatar, Mesir dan Arab Saudi kini bersedia menjadi orang tengah dalam konflik itu.
“Kita yakin mereka tidak akan berjaya tanpa menggunakan AS untuk memberikan tekanan, sebab masing-masing ada kuasa penekan kepada Amerika.
“Terutamanya selepas tiga negara iaitu Saudi, Qatar dan UAE sudah mengadakan perjanjian perdagangan dengan AS. Tekanan itu boleh digunakan untuk kebaikan, mengelakkan peperangan terus berlaku dan memberikan kelegaan kepada umat Islam,” jelasnya.
Tekanan negara Islam dan masyarakat dunia
Beliau mendedahkan bahawa tekanan bukan sahaja diberikan kepada Iran, tetapi juga terhadap Israel supaya turut ke meja rundingan.
“Kita dapati sebenarnya apa yang berlaku itu adalah usaha Israel menunjukkan kuasa kerana mendapat sokongan AS dan kuasa besar lain.
“Tetapi kita yakin kuasa besar juga tidak akan dapat bertahan dengan keadaan yang ada kerana kepentingan yang pelbagai,” terangnya.
Tambah beliau, tekanan diplomatik juga perlu digerakkan oleh negara seperti England, Perancis dan Jerman agar Israel dihentikan.
“Maklumat yang kita dapat ialah kononnya Amerika memberi tekanan kepada Iran untuk memberhentikan peperangan, tetapi kita juga dapat membaca sebenarnya ada gerakan daripada Qatar, Saudi dan UAE serta Turki yang terus menekan pihak Trump supaya menekan Israel pula,” kupasnya.
Dr Kamaruzaman turut menolak dakwaan Presiden Trump bahawa Iran telah menghantar wakil untuk berbincang di Oman, sambil menyifatkannya sebagai tidak benar dan sekadar rekaan semata-mata.
“Itu hanyalah rekaan-rekaan yang dibuat oleh Trump seperti sebelum ini. Tujuannya menunjukkan bahawa dia ada kekuatan dan pengaruh terhadap apa yang berlaku, tetapi sebenarnya tidak berlaku,” terangnya.
Beliau berkata tekanan masyarakat sivil dan NGO antarabangsa masih belum kelihatan sebagaimana berlaku dalam konflik Gaza sebelum ini.
“Dalam isu Gaza sebelum ini, kuasa masyarakat antarabangsa terutamanya dari Barat berjaya menekan dan mengadakan demonstrasi.
“Kita harap masyarakat juga mengadakan tekanan kepada Israel supaya memberhentikan peperangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











