PAS Perlis: Dari Sekolah Melayu Kangar ke pentas perjuangan Islam

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) bukan sekadar entiti politik biasa, tetapi sebuah gerakan Islam yang membawa gagasan besar menegakkan syariat Allah dan membina sebuah negara yang diatur dengan hukum Islam.

- Advertisement -

Di sebalik arus perjuangan ini, PAS Perlis memainkan peranan tersendiri yang wajar dikenang sebagai sebahagian daripada warisan perjuangan Islam di Malaysia.

Penulisan ini mengangkat kembali sejarah awal penubuhan PAS di negeri Perlis, satu detik bersejarah yang tidak harus dilupakan, terutama oleh generasi muda yang bakal mewarisi obor perjuangan ini.

Menelusuri jejak pejuang awal

Sebelum PAS dikenali seperti hari ini, usaha menegakkan pemerintahan Islam telah dimulakan lebih awal oleh tokoh-tokoh Islam menerusi penubuhan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol pada tahun 1948.

Hizbul Muslimin adalah jawapan terhadap tekanan dan penjajahan Barat, namun usia gerakan ini tidak panjang apabila diharamkan oleh British.

Lalu, ruang perjuangan disambung oleh PAS yang ditubuhkan pada 1951, dan akhirnya mula mengorak langkah ke negeri Perlis pada tahun berikutnya.

8 Mei 1952: Titik mula perjuangan di Perlis

Tanggal 8 Mei 1952 bersamaan 14 Syaaban 1371, menyaksikan detik bersejarah tertubuhnya PAS Cawangan Perlis dalam satu mesyuarat yang diadakan di Bangunan Sekolah Perempuan Melayu Kangar.

Ketika itu, negara masih belum mencapai kemerdekaan, namun semangat perjuangan Islam sudah pun menyala dalam jiwa para pendukungnya.

Tapak sekolah tersebut yang menjadi saksi awal perjuangan PAS kini telah berubah dibangunkan menjadi panggung wayang dan kemudiannya diambil alih oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai Dewan Kapitol.

Mesyuarat penubuhan itu dihadiri oleh seramai 30 orang ahli. Ini adalah angka yang besar bagi sebuah gerakan politik Islam yang masih baharu, menunjukkan betapa kesedaran Islam telah mula berakar dalam kalangan masyarakat Perlis ketika itu.

Kehadiran tokoh kerajaan: Satu isyarat awal

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Jamil Rais. Kehadirannya bukan sebagai tokoh politik PAS, tetapi sebagai pemerhati daripada pihak kerajaan.

Namun kenyataan beliau cukup signifikan yang memperlihat kesedaran kaum Melayu ketika itu.

“Saya sukacita melihat pergerakan umat kita sekarang sudah sedar dan suka memajukan bangsanya dengan pertubuhan yang seperti ini,” katanya.

Namun beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap golongan yang masih bersikap berkecuali dalam hal politik.

“Saya merasa dukacita kerana masih ada lagi orang-orang Melayu yang berada di atas pagar, ke kanan pun tidak ke kiri pun tidak. Hal ini akan merugikan diri sendiri,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa PAS adalah sah dari sudut undang-undang dan tidak menghadapi sebarang halangan daripada pihak berkuasa.

Sesi penerangan dan soal jawab

Majlis tersebut turut disertai oleh wakil dari Pejabat Agung PAS yang menerangkan tentang dasar perjuangan, matlamat dan pendekatan PAS kepada para hadirin.

Satu sesi soal jawab panjang lebar telah berlangsung, mencerminkan keterbukaan dan minat mendalam masyarakat Perlis terhadap fahaman perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Akhirnya, mesyuarat tersebut bersetuju untuk menubuhkan secara rasmi Persatuan Islam Se-Malaya Cawangan Negeri Perlis, yang menjadi nama awal bagi PAS Perlis.

Barisan kepimpinan awal

Kepimpinan awal PAS Perlis dipimpin oleh Tuan Guru Adnan Abdullah, seorang guru pondok yang disegani dari Sungai Padang sebagai Yang Dipertua.

Beliau dibantu oleh Syed Omar Syed Hussain sebagai Setiausaha dan Syed Ahmad Syed Alwi Al Hadad sebagai Penolong Setiausaha.

Namun sejarah turut mencatat bahawa kedua-dua pembantu beliau, Syed Omar dan Syed Ahmad, akhirnya keluar daripada PAS dan menyertai Umno.

Mereka kemudiannya bertanding di DUN Bintong dan Parlimen Arau atas tiket parti pemerintah.

Meskipun berlaku pengkhianatan awal terhadap perjuangan ini, PAS Perlis tidak pernah padam. Parti ini terus hidup dan berkembang biarpun dalam suasana politik yang mencabar.

Barisan kepimpinan sentiasa berganti, namun yang pasti, mereka terdiri daripada insan-insan yang ikhlas dan cintakan perjuangan Islam.

Berkekalan hingga kini

PAS Perlis kini bukan lagi satu cawangan kecil yang bermula di sekolah lama, tetapi telah berkembang menjadi satu kekuatan politik utama di negeri paling utara Semenanjung ini.

Menerusi pelbagai cabaran dan ujian, PAS Perlis kekal teguh memperjuangkan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan sejak mula.

Daripada zaman kezaliman penjajah, kepada persaingan hebat dalam era demokrasi pilihan raya moden, PAS Perlis tetap kekal dengan pendirian tidak tunduk kepada tekanan, tidak goyah kepada ancaman, dan tidak sesekali melupakan matlamatnya.

Warisan perjuangan umat

Sejarah PAS Perlis ini perlu dipelajari dan dihayati oleh generasi muda. Ini bukan sekadar cerita lampau, tetapi adalah warisan perjuangan yang menuntut kesinambungan dan pengorbanan.

Tanpa penglibatan generasi muda hari ini, cita-cita Islam yang dibawa sejak lebih 70 tahun lalu akan terhenti di tengah jalan.

Sebaliknya, jika generasi hari ini berani menyambung perjuangan ini dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya matlamat yang diperjuangkan oleh para pendahulu untuk melihat Islam memimpin negara akan menjadi kenyataan.

PAS bukan sekadar parti politik. Ia adalah wadah dakwah, pentas tarbiah dan medan jihad. PAS Perlis pula adalah antara benteng hadapan yang membuktikan bahawa perjuangan Islam mampu bermula di mana-mana hatta di sebuah sekolah perempuan asalkan ada iman dan semangat.

Tulisan asal oleh ALLAHYARHAM MAHMOOD MOHD NOOR
Ditulis semula oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -