
KOTA BHARU: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa merakamkan ucapan tahniah kepada Kelantan Darulnaim FC (KDN FC) susulan kejayaan kelab itu menyelesaikan proses penstrukturan semula.
Proses tersebut melibatkan pengambilalihan saham majoriti dan pengurusan baharu oleh Syarikat Kijang Handal Sdn Bhd.
Menurut beliau, langkah itu memberi sinar baharu kepada KDN FC untuk terus beraksi serta menyelesaikan segala tunggakan yang tertangguh sebelum ini.
“Ini bermakna KDN FC diberi nafas baharu dan dengan itu ada harapan untuk menyelesaikan tunggakan lama bila pasukan masih dapat terus beraksi,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.
Beliau menyeru semua pihak agar bersabar dan terus memberikan kerjasama demi kebangkitan semula pasukan itu yang kini berada di landasan baharu.
Katanya, laluan untuk bangkit semula bukanlah mudah, bahkan ada pasukan lain yang memilih untuk ‘menutup kedai’ dan tidak meneruskan saingan.
Mengulas keperluan pasukan, beliau mencadangkan supaya KDN FC berani membuat pelaburan bagi membentuk pasukan yang benar-benar kompetitif.
“Dua atau tiga pemain kebangsaan dari negara ASEAN dan sekurang-kurangnya dua pemain Asia perlu diikat segera memandangkan KDN ketiadaan pemain lokal yang benar-benar berkaliber tinggi,” ujar beliau.
Tan Sri Annuar turut menjangkakan sekurang-kurangnya 10 pemain import bakal membarisi skuad utama KDN bagi musim 2025.
“Dengan jurulatih yang berpengalaman, Stadium Sultan Muhammad IV bakal bergegar kembali,” katanya optimis.
Tambah beliau lagi, pasukan The True Warriors dengan wajah serba baharu bakal diperkenalkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, sehari dua lagi kita bakal melihat wajah baharu KDN FC,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











