SIS Forum: MAIS dukacita keputusan Mahkamah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan fatwa berhubung fahaman liberalisme dan pluralisme agama hanya terpakai kepada individu dan tidak kepada pertubuhan SIS Forum (Malaysia).

- Advertisement -

Pengerusi MAIS, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin, berkata keputusan mahkamah itu secara tidak langsung telah mencampuri urusan pembuatan dan pemakaian fatwa yang berkaitan dengan persoalan hukum syarak.

“MAIS juga menzahirkan kebimbangan bahawa keputusan majoriti mahkamah dalam kes ini akan membuka ruang kepada kumpulan tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk berselindung di sebalik nama Islam dalam sesebuah syarikat.

“Selain, pertubuhan atau institusi bagi mengamal dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan ajaran Islam supaya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil terhadap mereka.

“Di samping itu, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan mengelirukan dan boleh menjejaskan akidah umat Islam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Dalam masa sama, MAIS bersetuju dan menyokong penuh pendekatan penghakiman bertentangan daripada Hakim, Datuk Abu Bakar Jais.

“Beliau (Datuk Abu Bakar) menyatakan bahawa bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berhubung dengan fatwa ini adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan kepada pendekatan hal perkara.

“Beliau juga menyatakan walaupun dalam kes ini syarikat yang terlibat bukan merupakan ‘orang sebenar’ atau ‘natural person’ yang boleh menganut agama Islam, namun syarikat ini adalah tertakluk kepada fatwa.

“Ini berdasarkan kepada nama SIS iaitu ‘Sisters in Islam’ yang jelas menunjukkan identiti Islam serta aktiviti syarikat ini yang mengeluarkan penerbitan dan kenyataan tentang hal-hal berkaitan agama Islam,” katanya.

Salehuddin berkata, hal demikian ditambah pula dengan fakta bahawa pengasas dan pengarah syarikat berkaitan adalah terdiri dari kalangan orang Islam.

“Pendekatan penghakiman bertentangan ini adalah selaras dengan hujah yang dikemukakan oleh MAIS dalam kes ini.

“Ia merujuk kepada konsep ‘orang buatan’ atau ‘artificial person’ atau ‘syakhsiyyah i’itibariyyah’ dalam kehakiman dan jurisprudens Islam yang membolehkan tindakan diambil terhadap sesebuah syarikat atau pertubuhan,” katanya.

Oleh demikian, beliau memberi jaminan bahawa MAIS bersama badan penguatkuasa agama di Selangor akan sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan ajaran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ini dapat dibanteras.

Justeru, MAIS menggesa dan menasihatkan masyarakat Islam untuk tidak terlibat atau memberikan sokongan terhadap apa-apa program yang berkaitan dengan fahaman yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam termasuk fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Tegas beliau, komitmen MAIS untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri serta sokongan institusi Raja.

“Tujuan itu bagi memperkasa perundangan sedia ada demi memartabatkan kedudukan agama Islam selaras dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, pendirian MAIS ini telah disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, namun baginda turut menzahirkan kekecewaan dan dukacita dengan sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

“Hal demikian agar perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” katanya.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan itu dibuat secara majoriti, dengan tiga daripada empat hakim yang bersidang bersetuju untuk membenarkan rayuan yang difailkan oleh SIS Forum.

Mereka ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan.

Seorang lagi hakim, Datuk Abu Bakar Jais, tidak bersetuju dengan keputusan itu, manakala seorang lagi ahli panel, Tan Sri Abdul Karim Abdul Jalil, telah bersara pada April lalu dan tidak mengambil bahagian dalam keputusan akhir. – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -