
AYER KEROH: Bakri Jamaluddin menggesa kerajaan agar mengkaji semula hasrat memperluas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas sektor perikanan, khususnya terhadap jenis ikan yang dianggap sebagai ‘ikan rakyat’.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka itu berkata, langkah itu amat tidak wajar kerana membebankan rakyat, terutama golongan B40 yang menjadikan ikan pelagik sebagai sumber protein utama dalam kehidupan harian.
“Merujuk kepada beberapa portal yang mengulas tentang peluasan cukai SST yang melibatkan lebih 4,000 barangan dan perkhidmatan, ianya amat mengejutkan apabila ada beberapa jenis ikan dari spesies ikan pelagik turut dikenakan cukai SST.
“Antaranya termasuk ikan sardin, kembung India, kembung, cencaru, selar, tamban, ikan kayu serta beberapa jenis ikan lain dalam kategori yang sama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ikan-ikan tersebut adalah sebahagian daripada kategori ‘ikan rakyat’ yang sebelum ini diperkenalkan di bawah program Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan dikenali sebagai Ikan Rakyat sebelum dijenamakan semula sebagai Q’Fish.
“Q’Fish adalah penjenamaan semula bagi program Ikan Rakyat yang diperkenalkan pada tahun 2013 bertujuan untuk membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak kenaikan kos sara hidup pengguna.
“Ia memastikan rakyat mendapat akses kepada ikan segar berkualiti merangkumi beberapa jenis ikan segar beku yang popular seperti kembung, selar, pelaling, selayang, cencaru, aya, tilapia, dan keli,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tangga Batu itu menyifatkan keputusan kerajaan mengenakan cukai SST ke atas ikan-ikan terbabit bakal menyebabkan kenaikan harga yang akhirnya mengurangkan kuasa beli rakyat terbanyak.
“Mungkin majoriti rakyat tidak kisah sekiranya ikan tuna, salmon, kod, kerapu, herring, sea chicken dan beberapa jenis ikan lainnya yang dianggap ‘ikan kayangan’ dikenakan cukai tambahan kerana sememangnya ikan-ikan ini mahal dan hanya untuk golongan atasan dan mahakaya sahaja.
“Tetapi apa kesannya pula sekiranya ikan kembung, selar dan beberapa jenis ikan lagi yang dianggap ikan rakyat dikenakan cukai SST dan harganya naik?” soalnya.
Justeru, katanya, dakwaan bahawa perluasan cukai SST tidak menjejaskan golongan B40 adalah tidak masuk akal dan menafikan realiti semasa.
“Kerana ikan-ikan yang disebutkan ini menjadi sumber protein utama rakyat Malaysia dan harganya berpatutan walaupun sejak akhir-akhir ini berlaku sedikit kenaikan harga,” jelasnya.
Bakri juga mempersoalkan sama ada kerajaan telah benar-benar meneliti kesannya dan melakukan libat urus secara telus sebelum keputusan mengenakan cukai SST terhadap ikan pelagik dibuat.
“Adalah sangat tidak wajar bagi menguatkan dan memperkukuhkan fiskal negara, kerajaan mengambil jalan mudah dengan mengutip wang rakyat melalui perluasan cukai SST, seolah-olah rakyat menjadi mesin ATM buat kerajaan.
“Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan mengkaji semula dan mempertimbangkan hasrat untuk memperluaskan cukai SST kepada sektor perikanan, terutamanya terhadap ikan-ikan yang dianggap sebagai ikan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











