
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) berhubung permohonan mencabar kesahihan fatwa yang diwartakan oleh Jabatan Mufti Selangor.
Pesuruhjayanya, Ustaz Azhar Yahya berkata, fatwa bukanlah keputusan pentadbiran biasa, sebaliknya hukum Syariah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama berdasarkan disiplin ilmu Islam dan mempunyai kekuatan sebagai sumber hukum kepada umat Islam.
“Kami menzahirkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang keputusan ini yang dilihat boleh menghakis kuasa institusi agama Islam, termasuk Majlis Agama dan Jabatan Mufti Negeri-negeri.
“Dalam mengawal aliran pemikiran yang menyeleweng daripada syariat Islam. Oleh itu, kami menyokong penuh tindakan MAIS mempertahankan fatwa ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegasnya, tindakan mencabar fatwa di mahkamah sivil adalah tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan boleh menimbulkan kekeliruan serta menyebarkan ideologi liberal yang merosakkan akidah.
“PAS Wilayah Persekutuan menyeru umat Islam agar tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, berasaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas, serta tidak terpedaya dengan agenda halus yang cuba menggugat kesucian agama Islam melalui saluran undang-undang sivil.
“Kami juga mengharap semua pihak mengambil berat dengan kekecewaan dan dukacita yang dizahirkan oleh Sultan Selangor berikutan insiden ini. Kami juga menggesa Majlis Raja-Raja Melayu.
“Sebagai penaung tertinggi hal ehwal Islam di negara ini, untuk memantau dan menilai implikasi keputusan ini dengan serius agar institusi agama Islam kekal dihormati dan dipertahankan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan rayuan SIS Forum (Malaysia) dalam pertikaian berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 2014.
Mahkamah tertinggi itu dalam keputusannya memutuskan perkataan ‘orang-orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan seperti sebuah syarikat. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











