
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad membidas tindakan kerajaan yang cuba menggertak penjawat awam melalui pengulangan peraturan lama, dengan menyifatkannya sebagai pewaris ketakutan dan bukan pembawa reformasi.
Menurut beliau, Kerajaan Madani memberi respons klise apabila ditegur mengenai isu disiplin penjawat awam, dengan mengulangi alasan bahawa ia adalah peraturan sedia ada di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Ha, ha… bila kita beri teguran terhadap isu ini, segera muncul jawapan skema daripada Madani dan CT PH, ‘Ini peraturan yang sedia ada. Ia di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Bukan peraturan baru’,” bidasnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan alasan itu sebagai skrip lama yang diulang setiap kali kritikan dibuat terhadap kerajaan, sambil mengingatkan bahawa sewaktu menjadi pembangkang, mereka sendiri begitu lantang mendesak reformasi termasuk turun ke jalan raya.
“Dulu semasa jadi pembangkang, mereka turun ke jalan raya, berguling atas jalan kononnya mahu reformasi. Tapi kini, apabila berada di tampuk kuasa, semangat reformasi itu entah ke mana,” tempelak Ahli Parlimen Bagan Serai itu.
Beliau berkata, walaupun peraturan itu memang sudah lama wujud, keputusan Kerajaan Madani untuk menggembar-gemburkannya kembali menunjukkan bahawa mereka lebih cenderung mengekalkan budaya takut berbanding membawa perubahan yang sebenar.
Ustaz Idris menegaskan, reformasi sebenar adalah menyemak semula dasar yang tidak relevan dengan zaman keterbukaan hari ini, bukannya mengulangi dasar lapuk, selain beliau turut mempersoalkan motif kerajaan menimbulkan isu itu seolah-olah satu arahan baharu.
“Mengapa perlu digembar-gemburkan semula seolah-olah satu arahan baru? Adakah kerajaan sedang terasa tergugat dengan suara-suara penjawat awam yang semakin lantang menegur kelemahan pentadbiran?
“Jika benar kerajaan yakin dengan dasar mereka, apa perlunya takut kepada pandangan dalaman? Bukankah itu tanda sistem yang sihat?” persoalnya.
Ujarnya, PAS mengakui bahawa disiplin penjawat awam penting, namun teguran membina demi negara tidak wajar disamakan dengan sabotaj atau fitnah.
Ustaz Idris juga menegaskan bahawa penjawat awam hari ini bukan lagi sekadar ‘kerani kerajaan’, sebaliknya terdiri daripada golongan profesional dan berkelulusan tinggi.
“Ramai antara mereka profesional, berkelulusan tinggi dan punya keprihatinan terhadap dasar negara. Mereka bukan musuh kerajaan – mereka aset negara,” tegasnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan kerajaan itu memberi imej negatif seolah-olah cuba mengawal naratif dan membungkam suara yang tidak sehaluan.
Dalam suasana ekonomi mencabar dan isu kebajikan rakyat yang belum selesai, beliau berkata, kerajaan sepatutnya lebih fokus kepada penambahbaikan dasar, bukannya mengugut penjawat awam.
“Kalau benar Madani mahu membawa perubahan, buktikan dengan dasar, bukan sekadar menyambung peraturan lama yang membungkam suara kebenaran,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kerajaan sepatutnya memperkukuh ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban – bukan mewarisi budaya lama iaitu ‘budaya takut’.
“Pepatah ada menyebut, ‘Kamu boleh paksa kuda pergi ke air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda untuk minum’. Begitu juga dalam pentadbiran – kamu boleh paksa orang diam, tetapi kamu tidak boleh paksa rakyat percaya,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa penjawat awam diingatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan atau ulasan yang boleh memudaratkan dasar kerajaan tanpa kebenaran, termasuk melalui media sosial.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelanggaran boleh dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja.
Larangan itu berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











