Siasat konspirasi jahat, dedah motif dan dalang

Kes Yusoff Rawther

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan pembebasan Yusoff Rawther daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan sebagai pendedahan kepada satu konspirasi jahat yang dirancang secara licik dan terancang.

- Advertisement -

Katanya, beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membebaskan Yusoff Rawther tanpa perlu membela diri atas pertuduhan berkenaan, yang membawa hukuman mati mandatori serta merupakan dakwaan amat serius.

“Mahkamah mendapati tiada bukti sahih yang mengaitkan beliau dengan barang-barang kes tersebut. Pembebasan ini sekali gus mendedahkan bahawa Yusoff Rawther menjadi mangsa satu konspirasi jahat yang dirancang secara licik dan terancang.

“Penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan beliau selama sembilan bulan sepuluh hari berlaku hasil manipulasi kuasa oleh pihak-pihak yang sanggup memperalat sistem keadilan demi mencapai agenda tersembunyi mereka,” ujarnya Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

Beliau berkata, tumpuan kini bukan lagi sekadar kepada pembebasan Yusoff Rawther, tetapi harus difokuskan kepada persoalan yang lebih besar iaitu apakah motif sebenar di sebalik konspirasi ini.

“(Seterusnya) Siapakah dalang atau pihak yang merancang pertuduhan ini, serta apakah kepentingan yang sedang mereka lindungi sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa seseorang individu yang tidak bersalah?” persoalnya.

Katanya, kes itu mendedahkan wujudnya elemen penyalahgunaan kuasa, pengaruh dan campur tangan dalam sistem keadilan jenayah negara.

“Apabila seseorang individu yang tidak bersalah boleh dituduh, dipenjara dan hampir dijatuhkan hukuman mati berdasarkan pertuduhan yang kini terbukti tidak berasas, ia menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kebebasan sistem perundangan negara,” ulasnya.

Menurutnya, pembebasan Yusoff Rawther bukanlah noktah penamat sebaliknya menjadi titik tolak kepada tuntutan keadilan yang lebih besar.

“Peristiwa ini menuntut satu siasatan yang menyeluruh, bebas dan menyentuh setiap aspek kes termasuk bagaimana siasatan awal dijalankan, keputusan pendakwaan dibuat, serta sebarang unsur campur tangan atau pengaruh yang wujud sepanjang proses tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menubuhkan satu badan siasatan khas, bebas dan telus yang diberi mandat penuh untuk menyiasat segala aspek berkaitan kes itu.

Ia katanya termasuk mengenal pasti dalang, motif, pelaku serta sebarang elemen campur tangan oleh pihak berkepentingan.

“Kegagalan menyiasat kes ini secara menyeluruh hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan yang sepatutnya bebas, adil dan saksama,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -