
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyifatkan antara bala paling besar yang sedang melanda umat hari ini ialah hilangnya adab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, Kelantan itu berkata, itulah akar yang merosakkan segala kerana bila adab tercabut dari hati, hidup pun jadi tunggang-langgang.
“Kita tidak lagi tunduk di hadapan Allah. Dengan Rasulullah kita berbicara seolah-olah baginda orang biasa. Dengan para ulama, kita perlekeh sewenangnya.
“Dengan ibu bapa, suara ditinggikan, kata-kata tak lagi dijaga. Bahkan dalam urusan harian sesama manusia pun, kasar menggantikan lembut, caci menggantikan nasihat,” ujarnya dalam media sosial miliknya, hari ini.
Menurutnya, adab umpama neraca yang membuatkan manusia tahu di mana harus berdiri, bila perlu diam, bila patut bersuara, siapa patut di hadapan dan siapa perlu di belakang.
“Adab menjadikan manusia teratur, kehidupan tersusun, dan hati tenang,” jelas beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Namun katanya, bila tiada adab, manusia jadi berani berkata apa sahaja mengenai hukum-hakam Allah.
“Ada yang komen sembarangan bila melihat sesuatu ketetapan agama. Mereka lupa, hukum itu datang dari langit. Ia bukan ciptaan manusia. Tetapi kerana tidak kenal Tuhan, mereka memperolok.
“Kerana tidak hormat Rasul, mereka memperlekeh. Malah ada yang mencabar seolah-olah mereka lebih tahu daripada Yang Maha Mengetahui,” ulasnya dan menyatakan inilah zaman yang sedang dilalui iaitu zaman di mana biadab dirayakan sebagai berani.
Katanya, apabila adab dengan Rasulullah hilang dari jiwa, perkara pertama yang akan ditolak ialah sunnah Baginda.
“Hari ini, ada yang tidak hati-hati bila mendengar hadis. Ada yang berkata, ‘Itu hanya hadis,’ seolah-olah ia tidak punya nilai apa-apa.
“Mereka menolak sunnah kerana tidak kenal siapa yang menyampaikannya. Mereka lupa, setiap sunnah itu lahir dari hati yang paling suci, dari insan yang Allah pelihara sejak lahir hingga wafat,” terangnya.
Beliau turut memetik kisah yang diriwayatkan oleh Khalid al-Walid dan Ibn ‘Abbas mengenai adab terhadap sunnah, ketika Nabi SAW berada di rumah Maimunah bersama beberapa Sahabat RA dan dihidangkan kepada Baginda sejenis haiwan gurun yang dikenali sebagai dhab.
“Baginda SAW ketika itu menghulurkan tangan untuk mengambil makanan tersebut, tetapi diberitahu bahawa ia adalah daging dhab. Maka Baginda pun menarik semula tangannya.
“Khalid yang berada di sisi bertanya, ‘Adakah ia haram wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab, ‘Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di negeri kaumku, maka aku tidak biasa dengannya dan tidak menyukainya.’
“Walaupun Baginda sendiri tidak memakannya, namun Baginda tidak melarang Sahabat RAyang mahu menjamahnya. Bahkan Khalid al-Walid sendiri berkata, ‘Aku pun mengambil dan memakannya, sementara Rasulullah SAW hanya memerhatikannya.’
“Inilah yang disebut oleh para ulama sebagai taqrir Nabi, iaitu pengakuan Baginda terhadap sesuatu yang berlaku di hadapan Baginda tanpa tegahan.
“Ia menjadi dalil bahawa dhab adalah halal, walaupun Rasulullah sendiri tidak memakannya kerana faktor kebiasaan, bukan kerana hukum,” ujarnya.
Menurut beliau, di situlah letaknya kehalusan sunnah kerana diamnya Nabi pun mengandungi hikmah dan petunjuk.
“Orang yang ada adab dengan Nabi, yang mencintai Rasulullah, walau sekecil mana pun petunjuk daripada baginda, akan dijunjung penuh taat dan kasih,” kupasnya.
Beliau berkata, dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari, Anas Malik RA menceritakan bahawa apabila azan Maghrib dilaungkan, para Sahabat Nabi SAW segera menuju ke tiang-tiang masjid untuk mendirikan dua rakaat solat sunat, sebelum solat fardu dimulakan.
“Nabi SAW melihat mereka dalam keadaan sedang solat, namun Baginda tidak menegur atau melarang perbuatan tersebut.
“Contoh lain ialah kisah Sayyidina Bilal pernah ditanya Nabi tentang amalan terbaiknya, sebab Nabi terdengar bunyi tapak kaki Bilal di syurga.
“Bilal jawab, dia tak ada amalan hebat, cuma setiap kali ambil wuduk, dia akan solat dua rakaat. Nampak biasa, tapi dibuat dengan ikhlas dan konsisten hingga diganjari dengan syurga.
“Perkara ini tidak pernah diajar secara langsung oleh Nabi kepada Bilal. Ia adalah amalan peribadi yang lahir daripada cintanya kepada Allah dan keinginannya untuk sentiasa dalam keadaan bersuci dan beribadah. Tetapi Nabi tidak melarang, bahkan memuji.
“Maka para ulama berkata, amalan seperti ini, yang bertepatan dengan roh syariat dan tidak bercanggah dengan hukum, adalah amalan yang digalakkan,” ceritanya.
Beliau berkata, dari kisah-kisah itu dapat difahami bahawa adab dengan Nabi membuka ruang luas dalam beramal dan menjadikan seseorang tidak tergesa-gesa menolak sesuatu hanya kerana Nabi tidak melakukannya.
“Sebaliknya kita melihat dengan mata hati, adakah Nabi melarang? Adakah amalan itu menyalahi syariat? Jika tidak, maka diam Baginda adalah isyarat bahawa ia dibolehkan.
“Orang yang ada adab tidak menyempitkan agama dengan logik sendiri. Sebaliknya dia tenang dan sabar dalam menilai, kerana dia tahu bahawa Islam bukan sekadar hukum-hakam, tetapi juga bimbingan yang penuh kasih daripada seorang Nabi yang tahu rahmat Tuhan lebih daripada kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











