PM tidak wajar mohon tangguh perbicaraan

Ia boleh undang pelbagai tohmahan dan tafsiran

Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyifatkan tindakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim memohon penangguhan perbicaraan kes sivil melibatkan dakwaan serangan seksual terhadap Muhammad Yusoff Rawther sebagai langkah yang tidak wajar.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Undang-undang Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pihaknya memandang serius perkembangan berkenaan kerana ia mencetuskan persoalan besar terhadap integriti dan akauntabiliti seorang pemimpin tertinggi negara.

Beliau berkata, langkah Perdana Menteri itu boleh mengundang pelbagai tohmahan dan tafsiran serta menimbulkan persepsi bahawa beliau cuba mengelak daripada menghadapi proses perundangan yang sewajarnya berjalan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh politik.

“Sebagai Perdana Menteri seharusnya menjadi contoh kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Permohonan menangguhkan perbicaraan ini juga boleh ditafsir sebagai cubaan melengahkan keadilan serta memberi gambaran negatif terhadap sistem kehakiman negara,” ujarnya.

Ahli Parlimen Besut itu berkata, tindakan itu lebih membimbangkan apabila ia mencetuskan persoalan mengenai kebebasan institusi kehakiman apabila individu berkedudukan tinggi seperti Perdana Menteri seolah-olah diberi keistimewaan berbanding rakyat biasa.

Katanya, perkembangan tersebut amat mendukacitakan dan bercanggah dengan prinsip reformasi institusi yang dicanang Perdana Menteri sendiri.

“Justeru itu, saya mendesak agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghormati proses mahkamah dengan tidak terus mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan.

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran melalui satu proses kehakiman yang telus, adil dan tidak diganggu oleh kedudukan politik mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, PN akan terus memantau perkembangan kes itu dan menyeru pihak mahkamah untuk mempertahankan kebebasan dan integriti institusi kehakiman negara daripada sebarang tekanan politik. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -