Nasib B40, M40 terus dilanyak dengan peluasan SST

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Golongan B40 dan M40 dijangka menjadi antara pihak paling terkesan susulan pengumuman Kerajaan Madani mengenai peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat, Shahir Adnan berkata, pelaksanaan SST 2025 memberi kesan langsung kepada semua lapisan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurutnya, Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) mendedahkan bahawa hampir 97 peratus barangan kini dikenakan cukai, menjadikan hampir semua barangan pengguna berada dalam senarai SST yang baharu.

“Ini bermakna hampir semua barang dicukai sekarang, tanpa mengira golongan berpendapatan rendah atau sederhana. Ini adalah malapetaka yang memudaratkan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.

Shahir menjelaskan, berbanding hanya 62 muka surat dalam senarai SST 2022, senarai terbaharu bagi tahun 2025 mencecah lebih 200 muka surat dengan pelbagai kadar dikenakan termasuk 5 peratus, 10 peratus atau kadar khas seperti RM0.01 sekilogram.

Tambah beliau, antara barangan yang turut dikenakan cukai termasuk buah-buahan seperti pisang, epal, nanas dan mangga yang merupakan makanan ruji bagi kebanyakan rakyat daripada golongan B40 dan M40.

“Amat kasihan kepada semua rakyat Malaysia yang berpuasa kerana buah kurma bakal dikenakan cukai. Begitu juga dengan masyarakat Cina yang menyambut Tahun Baru, kerana limau mandarin turut dikenakan cukai,” ujarnya.

Menurut Shahir lagi, bukan sahaja makanan, perkhidmatan kesihatan juga tidak terkecuali apabila cukai perkhidmatan turut diperluaskan kepada rawatan selepas bersalin untuk ibu dan bayi serta rawatan kesihatan warga emas, masing-masing pada kadar 8 peratus.

“Apa yang dahulunya tidak dikenakan cukai kerana dianggap perkhidmatan asas untuk rakyat, kini dilanyak sehabis-habisnya. Dari bayi hingga warga emas, semuanya dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengurusan ekonomi negara yang disifatkannya tidak cekap sehingga menyebabkan hutang negara terus melonjak, manakala rakyat pula menjadi mangsa utama.

“Akhirnya, rakyat yang menjadi mangsa. Beban hidup rakyat makin ditekan dengan perluasan cukai SST,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -