
KUALA LUMPUR: Hasrat Kerajaan Madani untuk melaksanakan peluasan dan menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 disifatkan sebagai langkah yang akan membebankan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, walaupun kerajaan mendakwa peluasan SST bersifat progresif dan bersasar, namun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya apabila rakyat mula merasai kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Antaranya melibatkan kenaikan kos sara hidup yang sememangnya membebankan rakyat. Walaupun barangan asas seperti ayam, beras dan minyak masak dikecualikan daripada SST, banyak perkhidmatan lain tetap dikenakan cukai seperti rawatan kesihatan swasta, pendidikan swasta atau tuisyen, perkhidmatan pajakan dan pembinaan,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily.
Menurut beliau, golongan pertengahan dan rendah yang bergantung kepada sektor swasta bakal terjejas kerana terpaksa menanggung kos lebih tinggi bagi keperluan asas seperti kesihatan dan pendidikan.
Tambah beliau, pelaksanaan SST juga menyaksikan penyedia perkhidmatan memindahkan beban cukai kepada pengguna melalui kenaikan harga, sekali gus menyebabkan rakyat menjadi pihak yang paling terkesan.
“Kesan ini mungkin kecil secara individu, tetapi apabila dikumpulkan, ia menjadi beban besar kepada isi rumah setiap bulan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh isu kecekapan pentadbiran dan pelaksanaan pemantauan kerajaan terhadap peniaga yang menaikkan harga, yang dilihatnya kurang berkesan.
Khairul Faizi turut membangkitkan kegusaran rakyat terhadap ketelusan penggunaan hasil kutipan cukai, yang seharusnya dimanfaatkan untuk bantuan bersasar dan pembangunan rakyat.
“Golongan M40 terutamanya, tidak layak untuk menerima bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Dalam masa yang sama, mereka juga tidak cukup berkemampuan untuk menyerap kenaikan kos hidup. SST dalam bentuk ini menjadi cukai tidak langsung yang perlahan-lahan menghakis pendapatan boleh guna mereka,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hasil SST digunakan untuk rakyat, ketirisan dan pembaziran perlu dielakkan agar keyakinan awam terhadap dasar percukaian dapat dikembalikan.
“Pelaksanaan SST versi baharu ini dikatakan bersasar dan adil, namun kesan rantaian ekonomi menjadikan ia satu beban tambahan kepada rakyat, terutamanya dalam situasi harga rumah, sewa dan makanan yang terus meningkat, manakala pendapatan rakyat masih stagnan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











