Revolusi Harimau Malaya bermula cemerlang

- Advertisement -

SELURUH rakyat Malaysia telah dipertontonkan kejayaan awal revolusi Harimau Malaya (HM), dalam perlawanan dengan Vietnam tempoh hari yang mana negara pelawat itu telah dibelasah 4-0 mengakhiri badi kekalahan lebih dari sedekad.

Tidak boleh dinafikan pasukan revolusi HM yang diketuai oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah memahat tanda aras baru kualiti bola sepak Malaysia.

Dalam tempoh 90 minit permainan, kita semua dapat lihat peningkatan kualiti hampir semua aspek permainan dari skil individu, kekuatan fizikal dan kawalan bola. Begitu juga dengan ketenangan atas padang dan kaedah penguasaan permainan telah menzahirkan falsafah baru bolasepak negara.

- Advertisement -

Ya, hampir semua pemain adalah dari Malaysian Abroad kecuali Arif Aiman dan Syihan Azmi yang dibawa masuk untuk menambah kekuatan team HM.

Kita semua perlu berfikir, motivasi apa yang membuatkan mereka semua pemain berkualiti mahu datang ke Malaysia untuk mencurah bakti kepada negara asal keturunan mereka?

Ianya tidak lain dari visi, kesungguhan dan kekuatan kepimpinan oleh TMJ.

Sudah tentu telah banyak keringat dan masa yang telah diberi untuk menghasilkan permulaan cemerlang ini.

Ada pun begitu, kerisauan mengenai kehilangan identiti dan jati diri bangsa masih boleh dikawal dengan program yang telah diatur selepas ini. Perlu diingat mereka baru saja disatukan dalam satu pasukan dalam tempoh yang singkat.

Kita semua perlu memberi masa kepada pasukan TMJ untuk bekerja demi memastikan semua pemain secara perlahan mengenali hati budi dan budaya bangsa Malaysia.

Sekurang-kurangnya mereka semua dapat menyanyikan lagu Negaraku dengan lantang di awal setiap permainan seperti yang terjadi kepada pemain timnas Indonesia.

Justeru, revolusi HM ini perlu berjalan tanpa menoleh ke belakang dengan mengambil kira faktor jati diri bangsa tadi.

Sesungguhnya ekor HM  dari Perlis hingga ke Sabah melihat dengan penuh minat perkembangan HM yang telah muncul pasukan terkuat di Asia Tenggara seterusnya layak menjuarai kumpulan dan menjadi pencabar utama di Piala Asia nanti.

Tanda aras ini mesti diterapkan kepada generasi baru HM yang masih d bangku sekolah dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang. Rakyat semua ingin melihat DNA bola sepak baru tercinta dengan melahirkan 100 pemain seperti Arif Aiman di semua posisi padang dari anak jati Malaysia.

Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia supaya memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada revolusi HM dan mendoakan banyak kejayaan lagi dicipta seperti kata TMJ… ‘Kita Mesti Lahirkan Pasukan Kelas Dunia’.

Susah tentu kita semua tidak sabar untuk melihat HM mengaum di pentas antarabangsa.

IR ARIFFAHMI AB RAHMAN
Ekor Harimau Malaya
Pengerusi METRA
Malaysia Executive and Technocrats Alliance – HARAKAHDAILY 13/6/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -