
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa penubuhan segera sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan penyalahgunaan kuasa dalam kes pendakwaan terhadap Muhammed Yusof Rawther.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi membongkar kebenaran serta membawa ke muka pengadilan semua pihak yang terlibat, termasuk dalang utama sekiranya terbukti wujudnya konspirasi jahat di sebalik pertuduhan yang dikenakan.
“Saya menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan serta pendakwaan ke atas Yusof Rawther. Jika terbukti, mereka yang terlibat mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata, kes terhadap Yusof sejak awal lagi menimbulkan keraguan kerana ia berkait langsung dengan saman sivil yang difailkan beliau terhadap Perdana Menteri atas dakwaan gangguan seksual — suatu kes yang telah mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.
Beliau menambah, keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Yusof tanpa perlu membela diri membuktikan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie, sekali gus mengukuhkan persepsi wujudnya niat jahat dalam proses tersebut.
“Bukti-bukti yang dikemukakan pendakwaan amat diragui. Kemungkinan besar ia direka bagi mensabitkan kesalahan terhadap Yusof dan menutup mulut beliau dalam kes saman sivil terhadap Perdana Menteri,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan insiden ini sebagai manifestasi jelas kebobrokan kuasa apabila institusi negara dan instrumen undang-undang disalahgunakan untuk menganiaya rakyat biasa.
“Ini adalah tanda institusi keadilan telah dijadikan alat untuk melindungi penguasa. Lebih memalukan, tuduhan jenayah berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup digunakan sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau juga memberi amaran bahawa Malaysia berisiko menjadi negara autoritarian seperti ‘negara gestapo’ sekiranya agensi penguat kuasa terus tunduk kepada kuasa politik.
“Untuk kekalkan Malaysia sebagai negara hukum, agensi penguat kuasa mesti dibersihkan daripada anasir jahat. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memberi jaminan penuh terhadap keselamatan Yusof Rawther susulan pembebasan beliau.
Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menurutnya telah membuat keputusan berdasarkan prinsip undang-undang dan keberanian moral. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











