
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan gejala pedofilia di negara ini yang disifatkan semakin membarah serta menggugat keselamatan dan akhlak masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada pempengaruh media sosial, Mekyun, yang berjaya menggerakkan usaha kolektif memadamkan kumpulan Facebook ‘Group Budak2 Sekolah Rendah’ iaitu sebuah kumpulan yang menjadi sarang aktiviti pedofilia.
“Tindakan pantas beliau bersama pengikutnya patut dijadikan contoh teladan, khususnya kepada anak muda yang cakna terhadap keselamatan dan maruah kanak-kanak di alam maya,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, beberapa langkah utama perlu diambil bagi membanteras gejala itu, termasuk meningkatkan tindakan undang-undang dan mewujudkan garis panduan.
“Antaranya, tingkatkan hukuman ke atas pelaku pedofilia, wujudkan senarai pesalah seksual untuk pantauan awam, dan mewujudkan garis panduan had umur bagi mengakses media sosial,” gesanya.
Beliau turut menekankan keperluan kepada pantauan ketat di media sosial dengan kerjasama rapat antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta platform seperti Facebook, TikTok dan Instagram.
“Jejak dan padam segera kumpulan yang mencurigakan,” tegasnya yang juga bekas Ahli Dewan Negara dan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Ustazah Nuridah juga menggesa agar pendidikan kesedaran diberi di sekolah dan rumah melalui latihan kepada ibu bapa dan guru menggunakan modul pendidikan seksual berlandaskan Islam.
“Ajarkan anak tentang aurat, sentuhan selamat dan langkah perlindungan diri,” sarannya.
Beliau berkata, tindakan kolektif rakyat amat penting dengan semua lapisan masyarakat perlu melapor sebarang aktiviti eksploitasi kanak-kanak kepada pihak berkuasa.
“Selain itu, kempen tentang ‘NO Gadget’ bagi umur 13 tahun ke bawah juga wajar digerakkan,” gesanya lagi turut mengingatkan agar nilai agama perlu diperkukuh dengan usaha mengukuhkan iman dan taqwa dalam masyarakat.
Beliau juga menyeru agar diusahakan untuk menggerakkan NGO Islam, institusi dakwah dan agensi kerajaan dalam menyemarakkan program pembinaan sahsiah.
Ustazah Nuridah turut berharap agar segala usaha ini menjadi amal soleh serta diberkati Allah SWT dalam memelihara kemuliaan anak-anak dan menentang kemungkaran.
Beliau turut memetik ayat daripada Surah Ali ‘Imran, ayat 104 yang bermaksud ‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung’.- HARAKAHDAILY 13/6/2025











