
ORANG Melayu merupakan penduduk majoriti dalam negara ini. Mereka juga merupakan rumpun majoriti di dalam kebanyakkan negeri-negeri di bawah Persekutuan Malaysia. Sejak Merdeka kuasa politik dalam negara dikuasai oleh suara orang-orang Melayu sama ada di Parlimen mahupun di Dewan-dewan Negeri dengan diimbangi penguasaan Raja-raja Melayu melalui sistem Raja berperlembagaan di peringkat Persekutuan dan lapan buah negeri-negeri.
Sudah pasti kestabilan politik sesebuah negara terhasil apabila masyarakat majoriti juga menguasai kerajaan dan pemerintahan. Sebaliknya apabila kerajaan bertulang-belakangkan kelompok minoriti, seringkali kebajikan dan keperluan kelompok majoriti tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya yang memegang kuasa politik akan meneraju negara atau negeri berdasarkan prinsip dan agenda perjuangan masing-masing.
Ketika itu tercetuslah kegelisahan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat majoriti, masing-masing merasakan diri terdedah kepada ancaman kerana tiada lagi payung besar, yakni kuasa politik yang memayungi mereka. Apakah kepentingan mereka akan mampu dipertahankan, agama dan hak istimewa antaranya? Dan mereka tidak perlu toleh jauh, keadaan di seberang selat, negara jiran sudah cukup menjadi contoh hidup bagaimana kehilangan kuasa boleh mengakibatkan umat Melayu terpinggir di bumi sendiri.
Justeru inisiatif terbaru tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu sangat dialu-alukan. Bagi Tun keadaan semasa membuktikan banyak masalah dan isu berkenaan orang Melayu seakan gagal ditangani dengan berkesan apatah lagi diselesaikan. Sekretariat ini akan berusaha menyatupadukan kuasa politik Melayu agar teraju dan kuasa politik kembali di tangan orang-orang Melayu demi membela nasib dan masadpean mereka dengan lebih efektif.
PAS yang sememangnya menjadikan agenda penyatuan ummah sebagai teras perjuangannya, memberikan sokongan padu pada usaha ini. Hari ini PAS menguasai empat buah negeri-negeri Melayu, tetapi oleh kerana ia duduk dibangku pembangkang diperingkat Persekutuan walau dengan kerusi terbanyak di Parlimen, ia menjadi mangsa tekanan politik kerana teraju politik diperingkat Persekutuan didominasi oleh parti dari kelompok minoriti.
Perlu ada usaha untuk meperbetulkan keadaan tidak seimbang ini dan inisiatif terbaik dan paling berkesan adalah menyatupadukan kuasa politik Melayu di bawah satu payung sebagaimana mahu diusahakan ini. Payung besar ini mahu memuatkan semua kuasa politik Melayu termasuk Umno, tetapi malangnya awal-awal lagi segelintir dalam parti berkenaan menepisnya mentah-mentah.
Umno perlu sedar ia cuma punya 26 kerusi di Parlimen dan kecuali di Johor dan Melaka, negeri-negeri lain contohnya Pahang dan Perak ia terajui dengan ikhsan dan sokongan PH khasnya DAP. Di Selangor yang dulu dikuasai Umno ia cuma punya 2 kerusi DUN berbanding 22 ditangan PN. Mampukah Umno bangkit kembali dengan pertolongan PH dan DAP?
Berkuasa dengan ikhsan pihak asing berbeza dengan memegang kuasa atas kekuatan suara umat Melayu sendiri. Hanya jauhari yang mengenal manikam, bagaimana mahu berjuang untuk agama dan bangsa sedangkan kita sendiri berdiri bersandarkan tongkat orang. Semoga Sekretariat ini berjaya membangkitkan keinsafan dan kesedaran politik umat Melayu sehingga akhirnya bumi di pijak benar-benar kembali menjadi milik kita.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang – HARAKAHDAILY 13/6/2025











