
KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Pahang mengharamkan penjualan semua produk vape di negeri ini, sebagaimana diumumkan baru-baru ini oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri.
Naib Ketuanya, Dr Zulkifli Mohamad berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya golongan muda yang semakin terdedah risiko penyalahgunaan bahan rokok elektronik itu.
“Keputusan ini bukan sahaja selaras dengan prinsip Maqasid Syariah dalam menjaga nyawa dan akal, bahkan juga sejajar dengan saranan pelbagai pihak kesihatan dan pendidikan yang telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai trend penggunaan vape yang kian meningkat,” katanya.
Menurut beliau, Pemuda PAS Pahang turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana mengikuti jejak negeri-negeri ditadbir PAS dan Perikatan Nasional seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang telah lebih dahulu mengharamkan penjualan produk vape demi menjaga kesihatan dan moral generasi muda.
“Langkah ini menunjukkan kesediaan kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan berasaskan kepentingan rakyat, tanpa mengira kecenderungan politik,” katanya.
Menurut Zulkifli, Pemuda PAS Pahang telah memperjuangkan isu pengharaman vape sejak beberapa tahun lalu melalui pelbagai kenyataan rasmi, termasuk pada 2022 dan 2023, yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketara penggunaan vape dalam kalangan remaja.
“Dalam kenyataan-kenyataan tersebut, kami telah menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak penggunaan vape dalam kalangan remaja serta menyeru tindakan tegas daripada pihak berkuasa dalam menangani permasalahan ini sebelum ia menjadi krisis kesihatan awam yang lebih serius.
“Kami menyokong penuh dasar ini dan menyifatkannya sebagai langkah progresif ke arah pembentukan masyarakat sihat dan berakhlak tinggi. Justeru, kami menyeru agar negeri-negeri lain turut mengikuti jejak langkah ini demi kebaikan bersama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penguatkuasaan yang menyeluruh dan berterusan adalah kunci keberkesanan pelaksanaan dasar ini, bagi membendung kemungkinan penjualan haram atau penggunaan vape secara tersembunyi.
“Tanpa pengawasan rapi, kebarangkalian berlakunya penjualan haram, penyeludupan atau penggunaan vape secara tersembunyi masih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda PAS Pahang mencadangkan beberapa inisiatif antaranya operasi berkala dan mengejut dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan bersama agensi penguatkuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Kesihatan Daerah.
Katanya, kempen kesedaran dan pendidikan awam perlu diperluas terutama di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat komuniti bagi menyampaikan mesej bahaya vape secara jelas.
Selain itu, saluran aduan awam diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat melaporkan aktiviti penjualan atau penggunaan vape yang melanggar undang-undang.
Kerajaan juga, kata beliau disarankan menyediakan alternatif gaya hidup sihat untuk anak muda melalui program riadah, pendidikan dan pembangunan rohani.
Beliau berkata, Pemuda PAS Pahang akan terus memainkan peranan sebagai rakan strategik serta semak dan imbang kepada kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan dasar ini di peringkat akar umbi.
“Kami sentiasa bersedia untuk membantu menjayakan agenda membentuk generasi muda bebas vape dan bebas ketagihan,” katanya.
Untuk rekod, Pemuda PAS Pahang sebelum ini turut menggesa agar Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (RUU GEG) disegerakan dan menzahirkan sokongan terhadap titah Sultan Pahang yang mahu vape diharamkan. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











