
PADANG SERAI: Kepiluan dua beradik anak yatim piatu sedikit terubat apabila dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah di kediaman mereka, di Kampung Telok Sera, di sini.
Menurut Siti Ashah yang juga Exco Kerajaan Negeri, Nur Eryna Raisha Abdul Rashid,11 dan adiknya Aidan Wafiy Abdul Rashid ,7, kehilangan kedua ibu bapa tercinta kira-kira dalam tempoh sebulan sahaja.
“Kedua ibu bapa mereka dijemput Ilahi hanya berselang 31 hari sahaja antara kedua-duanya. Pastilah memberi kesan kepada mereka,” kata beliau menyuarakan rasa simpati mendalamnya kepada kanak-kanak itu.
Jelasnya lagi, ayah dua beradik berkenaan, meninggal pada April lalu akibat kemalangan, manakala ibu mereka pula dijemput Ilahi sebulan selepas itu akibat komplikasi jantung.
Kini kedua-dua beradik itu kata Dato’ Ashah di bawah jagaan datuk mereka, Che Ros Mat di mana juga menjaga serta menguruskan isterinya, Siti Aishah Harun, yang diserang strok.
“Situasi ini tentulah memberi cabaran kepada datuknya namun saya mengharapkan agar beliau tabah dengan ujian ini,” ujar beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah itu.
Perkara penting jelas Dato’ Ashah, masa depan dua kanak-kanak itu yang kini sedang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Guar Lobak, perlu diberi perhatian agar membesar menjadi insan berjaya di dunia dan akhirat.
“Di sinilah, semua pihak termasuk masyarakat setempat perlu memainkan peranan membantu sama ada menghulurkan sumbangan ataupun sokongan moral.
“Walaupun hanya dengan doa, itu sudah dikira sokongan dan bantuan agar keluarga ini tabah menjalani kehidupan seharian dan masa akan datang,” tambahnya lagi.
Situasi seperti itu katanya, perlu dijadikan renungan untuk lebih menghargai insan di sekeliling dan sentiasa bersyukur dengan nikmat
yang dikurniakan Ilahi.
Pada kesempatan itu, beliau turut memberi kata-kata perangsang dan motivasi kepada kanak-kanak tersebut serta menyampaikan sumbangan meringankan sedikit beban ditanggung oleh keluarga berkenaan. – HARAKAHDAILY 13/6/2025











