Terkilan tak sempat beri jambu batu kepada arwah anak

Halim menunjukan buah jambu yang diminta oleh anaknya.
- Advertisement -

BACHOK: Bapa kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas menyayat hati di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat memenuhi permintaan terakhir anaknya.

- Advertisement -

Halim Sidik, 58, berkata arwah anaknya, Muhammad Adib, 21, ada meminta buah jambu batu untuk dibawa ke UPSI bagi dikongsi bersama rakan-rakan di sana.

“Waktu itu saya dah janji nak beri jambu itu kepada orang lain, jadi saya suruh dia datang semula nanti ambil. Langsung tak sangka, itulah kali terakhir saya jumpa dia,” katanya.

Menurutnya lagi, kepulangan Adib pada Aidiladha lalu sangat bermakna dan tidak disangka menjadi yang terakhir sebelum terlibat dalam kemalangan meragut 15 nyawa termasuk dirinya.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim bersama Pengarah Urusetia, Ilvira Mohd Dasuki.

Arwah yang merupakan anak keenam daripada lapan beradik dan pelajar cemerlang Maahad Imtiaz Besut, tinggal bersama ibunya di Besut.

Halim Sidik

Jelas Halim lagi, keluarga sebelah ibunya menyatakan hasrat untuk menguruskan jenazah dan beliau akur dengan keputusan itu untuk Adib disemadikan di Besut.

“Wajahnya tenang, jenazah dalam keadaan sempurna, hanya ada sedikit luka luaran. Adib anak yang baik, mudah dijaga, apatah lagi dia pelajar agama. Kami bersyukur dia balik raya, sempat bersama kami dan pergi kenduri sama-sama. Cuti biasa pun dia akan balik,” luahnya lagi.

Tambahnya, pada peringkat awal kemalangan, arwah masih boleh bercakap sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

Namun menurut petugas perubatan, Adib meninggal dunia tidak lama selepas itu walaupun usaha menyelamatkan nyawanya dilakukan dalam ambulans.

Halim yang turut menghadapi masalah kesihatan berkaitan saraf menyatakan bahawa beliau reda dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mana-mana pihak termasuk pemandu bas.

“Kita tak simpan dalam hati, tak tuduh siapa salah. Kita reda, tak salahkan sesiapa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan China, di sini semalam.

Sementara itu, Rohani menyampaikan ucapan takziah daripada Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud kepada keluarga Halim.

“Ini semua takdir Allah SWT. Saya harap keluarga Allahyarham sama ada di Bachok mahupun di Besut, sabar hadapi ujian ini.

“Saya dimaklumkan arwah sangat baik, cemerlang akademik dan akhlaknya. Insya-Allah, dia merupakan saham akhirat buat kedua ibu bapanya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/6/2025

- Advertisement -