
ARAU: Cadangan penggunaan tong gas ungu oleh pihak kerajaan kononnya untuk mengawal ketirisan subsidi telah menimbulkan pelbagai persoalan, khususnya kesan rantaian bakal ditanggung rakyat, terutama golongan B40 dan M40.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Arau, Husna Hashim ketika ditemui berkata, kerajaan seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam sebarang polisi atau perubahan sistem subsidi supaya tidak membebankan pengguna terakhir, iaitu rakyat marhaen.
“Kesannya ialah pemilik industri besar menggunakan tong gas unggu, akhirnya harga barang akan naik, dan rakyat jugalah yang terpaksa tanggung beban itu.
“Harga barang kot mana pun akan naik, ataupun ada antara mereka akan manipulasi harga untuk mengaut keuntungan. Kos sara hidup naik, barang naik, semua akan naik, ini akan membebankan rakyat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau turut mempersoalkan pendekatan kerajaan yang dilihat sering mengambil jalan singkat dalam menyelesaikan isu ketirisan subsidi, namun gagal menangani punca sebenar seperti kelemahan penguatkuasaan dan ketirisan di peringkat pengedaran.
Kesan berantai kepada industri dan rakyat
Bermula Jun 2025, kerajaan memperkenalkan sistem dua tong gas, iaitu tong subsidi berwarna biru bagi kegunaan isi rumah dan tong gas ungu bagi industri dan perniagaan.
Namun, pengasingan ini menimbulkan kegusaran kerana banyak industri kecil dan sederhana (IKS) masih menggunakan tong subsidi dalam operasi mereka.
Langkah itu menurut Husna, akan menyebabkan peningkatan kos operasi kepada pengusaha restoran, peniaga kecil dan pengilang tempatan yang selama ini bergantung kepada tong subsidi.
“Natijahnya, kenaikan kos ini akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga barang dan makanan lebih mahal. Saya bimbang berhubung ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan yang mungkin membuka ruang kepada penyalahgunaan dan pilih kasih.
“Siapa yang kawal pemantauan ini? Adakah betul semua restoran besar akan guna tong ungu? Atau hanya peniaga kecil yang akan kena tekan?” soalnya tegas.
Menurut beliau, pengalaman lalu menunjukkan bahawa sistem dua harga atau dua jenis bekalan sering membuka ruang manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, manakala golongan kecil terus menjadi mangsa.
Kesan kepada golongan rentan
Dalam suasana ekonomi yang masih belum pulih sepenuhnya pasca pandemik dan kesan kelembapan global, sebarang kenaikan kos sara hidup akan memberi impak langsung kepada rakyat paling rentan termasuk ibu tunggal, warga emas, pelajar dan penganggur.
“Apabila kos barang harian meningkat, bukan saja isi rumah terkesan, malah pengusaha mikro seperti penjaja, penjual burger, dan pengusaha katering juga akan terhimpit.
“Jangan nanti bila semua orang naik harga, kerajaan pula salahkan peniaga pula. Padahal puncanya datang daripada dasar yang menekan mereka,” ujar Husna lagi.
Justeru, pihaknya menyeru agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan tong gas ungu ini dan menangguhkan dahulu pelaksanaannya sehingga satu kajian impak komprehensif dilakukan.
PAS juga menyarankan agar kerajaan menumpukan usaha membanteras ketirisan di peringkat rantaian pengedaran dan bukannya menghukum pengguna akhir.
“Kami tidak menolak usaha untuk membendung ketirisan, tetapi mestilah dibuat secara telus, berkesan dan adil. Jangan ambil jalan mudah dengan menyusahkan rakyat,” tambahnya.
Menurut beliau, sebarang pendekatan yang ingin diambil oleh kerajaan mestilah berdasarkan kepada prinsip keadilan sosial, kebajikan rakyat dan ketelusan pentadbiran. – HARAKAHDAILY 12/6/2025











