Tindakan Kerajaan Pahang haramkan vape disokong

- Advertisement -

KUANTAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan langkah Kerajaan Negeri Pahang mengharamkan penggunaan vape seperti yang dilaporkan media semalam sebagai tindakan wajar dan perlu disokong.

- Advertisement -

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri Pahang dan merupakan usaha membanteras kemudaratan vape terhadap kesihatan rakyat, khususnya golongan muda.

“Tindakan ini, yang mengikuti jejak beberapa negeri lain seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Johor adalah langkah yang tepat dan perlu disambut baik oleh seluruh warga Pahang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang itu berkata, keputusan Kerajaan Pahang juga menterjemahkan keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai isu vape.

“Seperti mana titah baginda pada 19 November 2024 dalam sebuah majlis di Kuantan, baginda menyarankan agar penggunaan vape diharamkan sepenuhnya di Pahang,” jelasnya.

Mengulas lanjut, ADUN Cheka itu berkata, vape boleh menjadi permulaan dan pintu masuk kepada gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia, selain memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

“Demi kesejahteraan dan kesihatan generasi masa depan, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyokong pengharaman penjualan vape.

“Statistik menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan pengguna muda, termasuk pelajar sekolah, yang kini dianggarkan melebihi 1.5 juta orang di seluruh negara.

“Akses mudah terhadap produk vape menyumbang kepada pertambahan angka ini. Kita juga telah dimaklumkan secara konsisten tentang risiko penyakit paru-paru seperti E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI). Jelas bahawa kemudaratan vape mengatasi sebarang manfaat yang didakwa,” terangnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sekali lagi menegaskan sokongan terhadap pengharaman penjualan vape di negeri itu.

“Namun, pada masa yang sama, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri Pahang mengambil langkah proaktif membantu para peniaga vape untuk beralih kepada bentuk perniagaan lain yang bersifat halalan toyyiban, bagi menjamin kelangsungan hidup mereka selepas pelaksanaan larangan ini,” katanya.

Terdahulu media tempatan melaporkan Kerajaan Negeri Pahang mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri.

Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dilaporkan berkata, fatwa itu telah mendapat perkenan Sultan Pahang dan dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada 14 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri itu berkata, pihak berkuasa tempatan disaran melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah agar masyarakat memahami bahaya vape. – HARAKAHDAILY 12/6/2025

- Advertisement -