
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan Muhammed Yusoff Rawther daripada dua pertuduhan berat berkait dadah dan senjata selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa tiada kes prima facie dibuktikan pihak pendakwaan.
Bekas pembantu penyelidik kepada seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebelum ini berdepan dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan dalam kejadian yang berlaku pada 6 September 2024.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammed Yusoff, 32, didakwa mengedar 305 gram ganja dalam kenderaan yang dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira jam 10.15 pagi.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam pertuduhan kedua, beliau dituduh memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada jam 9.25 pagi hari yang sama.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman telah menutup kes pada 28 April lalu selepas memanggil seramai 13 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula 7 April.
Antara saksi utama termasuklah pegawai kanan dari Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK Kuala Lumpur, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali serta Pegawai Penyiasat dari IPD Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir.
Turut memberi keterangan ialah ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Harlisa Haidhir Harminder.
Pihak pendakwaan juga menawarkan tujuh saksi lain kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri.
Untuk rekod, kes ini pada awalnya dibicarakan di Mahkamah Majistret sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 12 November 2024 atas permohonan pihak pendakwaan.
Muhammed Yusoff sebelum ini dikenali sebagai antara bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini merupakan Perdana Menteri Malaysia.
Namanya mencuri perhatian umum apabila beliau memfailkan satu akuan bersumpah serta tindakan saman sivil terhadap Anwar mendakwa berlaku salah laku seksual melibatkan dirinya.
Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini sekali gus menamatkan pertuduhan yang mengundang perhatian ramai susulan latar belakang tertuduh yang pernah berada dalam lingkaran kuasa politik tanah air. – HARAKAHDAILY 12/6/2025











