‘Mahkamah perlu lindungi saya dari kejahatan pengecut’

Muhammed Yusoff Rawther
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Yang Arif, saya tidak bersalah. Yang Arif…,” kata Muhammed Yusoff Rawther bekas pembantu penyelidik Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Luahan itu tercatat dalam surat tulisan tangannya kepada mahkamah yang antara lain berkata dirinya difitnah secara tidak adil oleh pihak berkuasa dan dituduh dengan niat jahat.

Menurutnya, beliau adalah seorang atlet crossfit berumur 31 tahun serta ahli generasi keempat dalam sebuah keluarga yang telah lama bertapak.

“Dunia saya terbatas kepada keluarga, pekerjaan dan latihan. Ia tidak pernah menyimpang daripada itu. Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang kegiatan haram apatah lagi melakukan jenayah sepanjang hidup saya.

“Saya telah difitnah secara tidak adil oleh pihak yang berkuasa dan didakwa secara berniat jahat.

“Kempen sewenang-wenangnya yang bersifat zalim ini merupakan satu tindakan balas dendam yang menindas terhadap seorang rakyat Malaysia yang tidak bersalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada mahkamah sejurus beliau dituduh atas jenayah memiliki dadah dan senjata api tiruan.

Beliau menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai rekaan sepenuhnya dan mengatakan ia adalah satu tindakan balas kerana beliau bersuara mengenai dakwaan serangan seksual.

“Yang Arif, pertuduhan yang direka-reka sepenuhnya ini adalah satu tindakan balas terhadap saya kerana berkata benar. Saya telah ditangkap seminggu selepas memfailkan senarai saksi dalam saman saya terhadap Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual terhadap saya.

“Saya telah dinafikan hak-hak Perlembagaan saya dan kini meringkuk dalam penjara, menjadi rakyat Malaysia pertama dalam tahanan reman yang diasingkan dan ditempatkan dalam banduan akhir sebagai usaha untuk melindungi saya,” luahnya lagi.

Tambah beliau, tekanan yang dialami sangat dahsyat dan tidak tergambarkan, malah beliau berkata pernah diserang secara seksual, dicederakan serta diugut.

“Tekanan dan kesan terhadap diri saya amat dahsyat dan tidak tergambarkan. Yang Arif, saya tidak bersalah.

“Saya telah melalui pengalaman diserang secara seksual oleh seseorang yang pernah saya hormati, dipukul, dicederakan, diugut untuk diperangkap dan cuba dibunuh, difitnah, diekori dan diganggu selama dua tahun ini. Dan kini saya telah difitnah pula, Yang Arif,” katanya.

Beliau turut merayu agar mahkamah menggunakan kuasa sedia ada bagi melindunginya daripada apa yang disifatkannya sebagai ‘kejahatan pengecut’.

“Mahkamah yang mulia ini mempunyai kewajiban hakiki untuk menggunakan kuasanya yang besar dan melindungi saya daripada kejahatan pengecut ini, Yang Arif.

“Kita wujud semata-mata demi keadilan, maka itu menangguhkan keadilan bererti menafikan keadilan. Mahkamah yang mulia ini mesti dengan segala kebijaksanaan yang ada meletakkan pencapaian keadilan mengatasi kepatuhan membuta tuli terhadap kerumitan birokrasi.

“Dengan semangat itu, Yang Arif, saya dengan rendah hati dan penuh ketegasan merayu serta memohon agar Mahkamah yang mulia ini memulakan perbicaraan secepat mungkin dan memberikan saya keadilan sekarang.

“Apa-apa yang kurang daripada itu adalah satu kezaliman yang kejam. Terima kasih,” rayunya. – HARAKAHDAILY 12/6/2025

- Advertisement -