
HUKUM menyimpan daging korban oleh peserta korban adalah harus sama ada kurang dari tiga hari atau lebih.
Memang dahulunya dilarang simpan daging korban lebih dari tiga hari tetapi larangan itu telah dibatalkan.
Begitu juga orang yang menerima sumbangan daging korban maka dia boleh menyimpannya lebih dari tiga hari sesuai kehendaknya atau memakannya sama ada yang menerima daging itu orang miskin atau orang kaya.
Telah diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ نَهَى عَنْ أَكْلِ لُحُومِ الضَّحَايَا بَعْدَ ثَلَاثٍ، ثُمَّ قَالَ بَعْدُ: “كُلُوا، وَتَزَوَّدُوا، وَادَّخِرُوا
Ertinya: “Daripada Nabi sollallahu alaihi wasaallam sungguhnya dahulu baginda melarang makan daging korban selepas tiga hari kemudian selepas itu bersabda: Makanlah kamu sekalian dan berbekallah dan simpanlah.” (Hadis riwayat Muslim)
Dan jika seorang itu hendak menyimpannya dalam tempoh masa yang sangat sekalipun iaitu harus.
Telah diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri r.a. daripada Nabi sollallahu alaihi wasallam bersabda:
إِنِّي كُنْتُ حَرَّمْتُ لُحُومَ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ، فَكُلُوا وَتَزَوَّدُوا وَادَّخِرُوا مَا شِئْتُمْ
Ertinya: “Sungguhnya dahulu aku telah haramkan segala daging korban melebihi tiga hari maka sekarang makanlah kamu sekalian dan berbekallah dan simpanlah barang sekehendak kamu sekalian.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dan pada satu riwayat Imam Muslim Nabi sollallahu alaihi wasalllam bersabda:
كُلُوا وَأَطْعِمُوا وَاحْبِسُوا
Ertinya: “Makanlah kamu sekalian dan jamulah orang-orang makan dan simpanlah oleh kamu sekalian.”
Berkata Imam As-Son’ani pada menerangkan makna hadis-hadis ini:
(كنت نهيتكم عن لحوم الأضاحي) نهي تحريم أو تنزيه عن إدخارها (فوق ثلاث) من الأيام ابتداؤها من يوم النحر أو من يوم الذبح وأوجبت عليكم التصدق بها (ليتسع ذوو الطول) ليوسع أصحاب الغنى (على من لا طول له) من لا سعة له .. (فكلوا ما بدا لكم) أي مدة أردتم. (وأطعموا) غيركم. (وادخروا) فإنه لم يبق تحريم ولا كراهة
Ertinya: “Maksud sabdanya dahulu aku melarang kamu sekalian dari daging korban itu ialah larangan haram atau makruh dari menyimpannya melebihi tiga hari yang bermula dari hari raya atau hari sembelih dan aku wajibkan kamu sekalian sedekahkan daging korban itu supaya orang yang senang membantu orang yang susah. Kemudian kamu sekalian makanlah barang banyak mana yang kamu mahu dan jamulah juga orang yang lain dan simpanlah kerana sungguhnya tiada lagi diharamkan atau dimakruhkan simpannya.” (Kitab At-Tanwir)
Dan berkata oleh Imam Nawawi:
يَجُوزُ أَنْ يَدَّخِرَ مِنْ لَحْمِ الْأُضْحِيَّةِ وَكَانَ ادِّخَارُهَا فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مَنْهِيًّا عَنْهُ ثُمَّ أَذِنَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ وَذَلِكَ ثَابِتٌ فِي الْأَحَادِيثِ الصَّحِيحَةِ الْمَشْهُورَةِ
Ertinya: “Harus seseorang itu menyimpan daging korban dan adalah dahulunya menyimpannya lebih tiga hari dilarang daripadanya kemudian Rasulullah sollallahu alaihi wasallam membenarkannya pada menyimpannya dan yang demikian itu sabit pada hadis-hadis yang sahih yang masyhur.” (Kitab Al-Majmu’)
Ketahuilah bermula yang afdal ialah dimakan dengan segera akan daging korban itu oleh tuan korban kerana memakan daging korban itu adalah ibadah maka lebih cepat adalah lebih elok.
Akan tetapi harus hukumnya tuan korban menyimpan daging korban untuk dimakan pada masa yang dia kehendaki.
Adapun daging yang akan dihadiahkan kepada saudara mara dan sahabat handai maka yang afdal dia bahagikan dengan segera.
Dan daging yang hendak disedekahkan kepada orang miskin adalah makruh disimpan jika wujud orang miskin yang memerlukannya.
Oleh kerana itulah jika dia hendak menyimpan daging korban hendaklah disimpan akan bahagian dirinya sahaja.
Berkata Imam Nawawi:
وَإِذَا أَرَادَ الِادِّخَارَ فَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَكُونَ مِنْ نَصِيبِ الْأَكْلِ لَا مِنْ نَصِيبِ الصَّدَقَةِ وَالْهَدِيَّةِ
Ertinya: “Dan apabila seorang itu hendak menyimpan daging korban maka yang disunatkan ialah dari bahagian dirinya bukan daripada bahagian sedekah dan hadiah.” (Kitab Raudah At-Talibin)
Adapun jika orang miskin belum datang maka harus hukumnya disimpan daging korban bahagian mereka kerana menunggu waktu datangnya.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 10/6/2025
Tulisan ini diambil daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus mengenai Fiqah Korban Bahagian Kesembilan dengan tajuk seperti di atas.











