Pengamal Media Perlis berpeluang rasai ibadah korban

- Advertisement -

PADANG BESAR: Pengamal media negeri Perlis tidak sekadar menyampaikan berita kepada rakyat, malah turut mendekati denyut nadi masyarakat apabila bersama-sama menyertai ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.

- Advertisement -

Presiden Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Syed Azlan Sayid Hizar berkata, penganjuran program ini merupakan satu usaha murni untuk memperkukuh jalinan silaturahim sesama ahli media dan masyarakat.

“Program Ibadah Korban yang kita buat ini di bawah Persatuan Wartawan Perlis mendapat sumbangan lembu korban daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Sumbangan ini adalah daripada Perdana Menteri sendiri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya ketika ditemui selepas Program Korban dan Agihan Daging yang berlangsung di Rumah Penyembelihan Bilal Uduh, Kampung Padang Asam, Chuping, di sini semalam.

Lebih bermakna ujarnya, agihan daging korban kali ini bukan sahaja tertumpu kepada pengamal media, bahkan turut diperluaskan kepada penduduk setempat di Kampung Padang Asam, selain golongan kurang berkemampuan sekitar Kangar.

“Kita bukan sekadar menyembelih dan mengagihkan kepada pengamal media sahaja. Sebahagian daging korban kita serahkan kepada komuniti di Kampung Padang Asam untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

“Manakala sebahagian lagi dibawa ke rumah persatuan untuk diagihkan kepada rakan-rakan media dan juga golongan asnaf yang memerlukan,” katanya lagi.

Tambah beliau, penyertaan pengamal media dalam program seumpama ini bukan hanya mengukuhkan solidariti sesama rakan seprofesion, malah menjadi ruang untuk mereka mendekati masyarakat dalam konteks yang lebih mesra dan insani.

“Inilah antara cara kita nak eratkan hubungan sesama kita, bukan hanya dalam kerja, tapi juga dalam aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat merasai nikmat berkorban bersama rakyat,” ujarnya.

Penganjuran ini diselaraskan oleh Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dengan penglibatan kelab media negeri iaitu Kelab Wartawan Kuala Lumpur dan Selangor (KLS), Kelab Media Perak (Media Perak), Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Persatuan Wartawan Perlis (PWP) serta Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA).

Pihaknya turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan Pejabat Perdana Menteri yang memberikan ruang kepada pengamal media untuk turut serta dalam ibadah korban, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara media dan kerajaan.

“Kami sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Pejabat PM atas ingatan dan sumbangan ini. Ia benar-benar bermakna buat kami yang selama ini lebih banyak berada di belakang tabir, menyampaikan suara masyarakat,” jelas Syed Azlan.

Beliau turut menyuarakan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja di Perlis tetapi juga di seluruh negara, sebagai salah satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa pengamal media.

“Kalau ada peluang lagi tahun depan, insya-Allah kita akan buat lagi. Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari sudut agihan daging, tetapi juga memperkukuh jati diri dan semangat kebersamaan dalam kalangan kami,” katanya lagi.

Program yang bermula seawal jam 8 pagi itu menyaksikan semangat kerjasama tinggi dalam kalangan pengamal media, yang turut terlibat secara langsung dalam proses penyembelihan, penyediaan dan pembungkusan daging korban.

Tidak kurang juga keterlibatan penduduk kampung, yang menyambut baik kehadiran para wartawan dan petugas media dalam program berbentuk kemasyarakatan ini, yang secara tidak langsung memperkukuh hubungan antara media dan masyarakat akar umbi. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -