Korban Perdana, PAS Kedah tumbang 18 ekor lembu

Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya
- Advertisement -

SEMPENA sambutan Hari Raya Aidiladha, PAS Kedah telah menjayakan program Korban Perdana dengan menumbangkan sebanyak 18 ekor lembu korban sumbangan PAS Kawasan dan dewan-dewan negeri.

- Advertisement -

Acara tahunan yang penuh dengan nilai ibadah dan kemasyarakatan ini diadakan serentak di dua lokasi utama iaitu di Kampung Batu Menunggul, Pendang dan Maahad Tafaqquh Fiddin, Pondok Kejai, Kuala Ketil, semalam.

Program bermula seawal 8:30 pagi dan berakhir sekitar 1:00 tengah hari, disertai oleh pimpinan PAS negeri dan kawasan serta barisan sukarelawan yang komited.

Seperti kelaziman, sebahagian besar daging korban diagihkan kepada masyarakat setempat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

Sementara beberapa bahagian lagi, dimasak dan disediakan untuk jamuan kepada petugas dan para sukarelawan yang menjayakan program ini.

Di Pendang, program turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya dan Bendahari PAS Kedah, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat dan Timbalan Yang Dipertua Kawasan Pendang, Datuk Awang Hashim.

Manakala di Kuala Ketil, antara pimpinan yang hadir termasuklah
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ts Dr Mohd Suffian Yusoff dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’Ustazah Siti Ashah Ghazali dan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Baling, Ustaz Hassan Saad

Juga, YDP PAS Kawasan Sungai Petani, Ustaz Sharir Long dan YDP PAS Kawasan Merbok, Ustaz Azizan Hamzah dan lain-lain.

Menurut Dato’ Ustaz Ahmad, komitmen daripada PAS kawasan dan dewan-dewan negeri amat memberangsangkan setiap tahun dan memberi komitmen yang padu.

“Setiap tahun, semua PAS Kawasan dan dewan-dewan negeri memberi komitmen yang sangat baik, memberi kerjasama menjayakan program korban ini,” kata beliau.

Justeru, program Korban Perdana ini bukan sekadar melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform mengukuhkan silaturahim antara ahli, pimpinan dan masyarakat setempat.

Ia juga mencerminkan iltizam PAS Kedah untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan semangat kebersamaan. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -