
KOTA BHARU: Kekuatan pegangan dan amalan agama di Kelantan menyebabkan Mohd Sripuddin Erikson Abdullah, 45, terus kekal bermustautin di negeri Serambi Makkah itu setelah memeluk Islam pada tahun 2000.
Dia mendapat pendedahan awal terhadap agama Islam ketika belajar di Politeknik Kota Bharu dalam bidang Diploma Ukur Bahan dan memutuskan memeluk Islam tanpa pengetahuan ahli keluarganya di Sarawak.
Bagaimanapun pada tahun 2003 dia membuat pengisytiharan memeluk Islam secara rasmi kepada pihak berkuasa agama negeri bertanggungjawab iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK).
“Saya tidak mahu gege (hebohkan) lagi, sebab keluarga di Sarawak tidak dapat terima, lagipun saya pula masih belajar, nasihat pensyarah dan kawan-kawan nasihat masuk Islam senyap-senyap dahulu.
“Tetapi selepas tahun 2003 lepas saya habis belajar dan bekerja di Kelantan ini juga, saya isytihar keislaman saya di Kelantan ini, tetapi kepada keluarga saya tidak bagitahu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ibadah Korban Aidiladha 1446H Santuni Muallaf Kelantan yang diadakan di Homestay KPKB di Jalan Kebun Sultan, di sini kelmarin.

Dua ekor lembu dikorbankan pada majlis anjuran Koperasi Pribumi Kelantan Berhad (KPKB), Misi Kembara Dakwah (MKD), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan dan Persatuan Dayak Muslim Kelantan.
Kira-kira 100 saudara baru menerima agihan daging korban disampaikan Pengerusi KPKB, Mohd Khazimi Ismail; Timbalan Pengerusi MACMA Kelantan, Abdul Rahim Pui dan Presiden MKD, Mohd Khalid Mat Zari.
Mohd Saripuddin yang juga Pengerusi Persatuan Dayak Muslim Kelantan berkata, pelbagai dugaan dihadapinya termasuk tentangan ahli keluarga sendiri pada peringkat awal memeluk agama Islam.
Ketika itu dia turut menerima banyak tawaran diberikan kepada dia semata-semata untuk meninggalkan Kelantan dan menetap di Sarawak sekali gus mengalihkan tumpuannya kepada kepercayaan lama.
“Sekarang hubungan dengan keluarga saya sudah baik dan saya pun boleh balik setahun sekali jumpa orang tua, ada lagi dan dapat kerja lebih baik, ada hikmahnya juga saya pertahankan Islam saya ini.
“Ada sesetengahnya tidak tahan dia balik, hidupnya susah, macam saya saya pertahankan, rela berjuang bermati-mati, keluarga tawar macam-macam untuk balik Sarawak, saya tidak mahu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/6/2025











