
KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel menawan kapal bantuan kemanusiaan Madleen yang dalam perjalanan membawa bekalan penting ke Gaza, sekali gus menculik 12 aktivis kemanusiaan antarabangsa.
Ketua Pengarahnya, Mardhiyyah Johari berkata, penculikan aktivis dari Sweden, Ireland dan Perancis itu merupakan satu jenayah perang yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
“Ameerah juga mengecam tindakan kejam Menteri Pertahanan negara haram Israel, Israel Katz yang mengarahkan tentera rejim untuk menghalang kapal Madleen daripada meneruskan perjalanannya.
“Kapal ini telah memulakan pelayaran dari Sicily dan berlabuh di pesisir pantai Catania, Itali, sebelum dijadualkan tiba ke Gaza melalui Mesir,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Mardhiyyah turut menyokong penuh desakan Gabungan Flotilla Kebebasan (FFC) agar semua kerajaan yang warganegaranya terlibat dalam misi kemanusiaan ini segera bertindak menuntut pembebasan mereka dan memastikan bantuan dapat disampaikan tanpa halangan.
“Rejim Israel tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang kapal bantuan daripada memasuki wilayah Gaza, lebih-lebih lagi ketika penduduknya sedang menghadapi kebuluran yang kritikal.
“Menurut FFC, tentera Israel telah menaiki kapal tersebut dan menculik para aktivis secara paksa. Ini bukan sahaja satu pencabulan hak asasi manusia, malah menunjukkan keangkuhan Israel dalam menafikan hak penduduk Gaza untuk menerima bantuan asas,” katanya.
Menurut pihak penganjur, kapal Madleen membawa pelbagai bekalan penting seperti susu formula bayi, tepung, beras, produk kebersihan wanita, tongkat, anggota palsu kanak-kanak dan pelbagai lagi keperluan untuk rakyat Gaza yang sedang mengalami krisis kebuluran.
“Kami mengajak masyarakat dunia, khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat untuk bersama-sama mendesak pembebasan segera para aktivis serta memastikan misi kemanusiaan ini dapat diteruskan tanpa campur tangan tentera rejim Zionis,” katanya.
Terdahulu, Katz mengarah tenteranya untuk menghentikan kapal layar yang membawa aktivis termasuk Greta Thunberg dari Sweden yang merancang untuk menentang sekatan Israel dan sampai ke Gaza.
Dikendalikan oleh FFC yang pro-Palestin, kapal Madleen dengan berbendera British berlayar dari Sicily pada 6 Jun lalu dan kini berada di luar pantai Mesir, menuju ke Semenanjung Gaza, yang dikepung oleh Israel. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











