Ahmad Maslan tak faham kenyataan Tun Mahathir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung konsep ‘Payung Besar’ yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan menyifatkan Ahmad tidak memahami maksud sebenar ingin disampaikan oleh negarawan itu.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Muafakat Nasional itu, tidak timbul isu Umno tidak akan menyertai gagasan Payung Besar Melayu kerana Tun sendiri sejak awal telah menjelaskan bahawa konsep tersebut tidak berasaskan parti politik dan tidak menjemput mana-mana parti secara rasmi.

“Tun dari awal menyebut beliau tidak menjemput Umno, sebaliknya mengajak semua orang Melayu termasuk ahli Umno untuk bersama menyokong gagasan tersebut melalui Sekretariat Orang Melayu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau lagi, dakwaan kononnya Umno adalah ‘Payung Besar’ orang Melayu juga sudah tidak relevan memandangkan semakin ramai orang Melayu, termasuk ahli Umno sendiri, meninggalkan parti itu.

“Sebenarnya telah jelas kini bahawa 80 peratus orang Melayu telah pun bersatu dan tekad untuk terus berjuang bersama,” katanya yang juga bekas Setiausaha Agung Umno.

Tambah beliau, walaupun terdapat usaha pihak tertentu untuk memecahbelahkan perpaduan yang telah terbina, keadaan itu masih boleh diperbaiki menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Insya-Allah, tidak rugi untuk kita bersatu padu. Malah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya yang kini merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Annuar turut menyifatkan Umno bukan lagi menjadi tempat orang Melayu berteduh, sebaliknya telah berubah menjadi parti yang diperalat oleh kelompok tertentu demi kepentingan peribadi.

“Payung Umno kini dipenuhi oleh DAP dan kerabatnya, yang selesa dipanggil UmDAP. UmDAP mantap, katanya!” sindir bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu.

Annuar turut menegaskan gagasan Payung Besar bukan hanya diperlukan oleh orang Melayu, bahkan seluruh rakyat Malaysia, namun asas perjuangannya tetap meletakkan Melayu sebagai tonggak kekuatan negara. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -