
KOTA BHARU: Satu tabung ditubuhkan bagi membolehkan golongan kurang berkemampuan untuk bersama-sama menunaikan ibadah korban yang menjadi sebahagian tuntutan digalakkan dalam agama.
Pengerusi Koperasi Pribumi Kelantan Berhad (KPKB), Mohd Khazimi Ismail berkata, inisiatif tersebut turut membantu penternak lembu, selain menawarkan harga satu bahagian dengan lebih murah.
Beliau berkata, dalam hasrat ini pihaknya hanya memberi tumpuan kepada individu yang kurang berkemampuan berbanding sumbangan pihak korporat dalam bentuk haiwan mahupun kewangan.
“Tabung ini kita buat ini untuk sesiapa sahaja yang boleh menyediakan bayaran bulanan secara konsisten, RM30 ke RM70 atau berapa sahaja selagi dia mampu untuk buat secara bulanan.
“Tumpuan kita ialah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menunaikan ibadah korban kerana kenaikan harga satu bahagian lembu sekarang ini mencecah sehingga RM800,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ibadah Korban Aidiladha 1446H Santuni Muallaf Kelantan yang diadakan di Homestay KPKB di Jalan Kebun Sultan, di sini kelmarin.
Dua ekor lembu dikorbankan pada majlis anjuran Koperasi Pribumi Kelantan Berhad (KPKB), Misi Kembara Dakwah (MKD), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kelantan dan Persatuan Dayak Muslim Kelantan.
Kira-kira 100 saudara baru atau muallaf menerima agihan daging korban disampaikan beliau bersama Timbalan Pengerusi MACMA Kelantan, Abdul Rahim Pui dan Presiden MKD, Mohd Khalid Mat Zari.
Mohd Khazimi berkata lagi, usaha tersebut juga dijangka dapat merancakkan lagi sektor penternakan kerana pihaknya akan memberikan sokongan dalam bentuk kewangan secara berkala.
Beliau berkata, kekangan kewangan dengan peningkatan harga makanan haiwan saban waktu menjadi faktor utama golongan itu tidak mahu menternak haiwan ruminan termasuk lembu dan kambing.
“Kita set benda ini lebih awal berapa jumlah peserta jadi kita boleh cari lembu lebih awal dapat harga lebih murah, kita bukan ambil lembu ‘last minute’, kita tempah awal dengan penternak lembu ini.
“Tahun depan kita nak buat korban jadi dia pelihara lembu kita bagi upah bayaran kepada dia pula, sekarang ini penternak ramai, dia jadi malas sekarang ini sebab harga makanan mahal,” katanya.
Beliau turut mengalu-alukan individu yang berminat agar menghubungi di talian, +60 11-1079 1110. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











