Perginya yang terpilih

Gambar hiasan
- Advertisement -

AIDILADHA ini tidak lagi bergema dengan takbir yang mengundang senyuman, tetapi bergema dengan sebak yang tersekat di dada.

- Advertisement -

Di Kilometer 53, Jalan Raya Timur–Barat, Gerik , di jalan yang sunyi dan bersaksi sebuah bas yang membawa 42 penuntut ilmu dari UPSI, dalam perjalanan pulang dari Jerteh ke Tanjung Malim, telah terbalik dalam hening malam. 15 jiwa suci telah dipanggil pulang oleh Tuhan Yang Maha Pengasih.

Mereka baru sahaja menabur bakti di Aidiladha, hari korban, hari menyerah diri. Mereka adalah anak-anak muda yang mendaki jalan ilmu, menjadi cahaya di mata ibu, harapan di hati ayah, dan nadi ummah.

Namun, Allah yang Maha Mengetahui telah menulis takdir terbaik buat mereka. Kerana siapa yang dijemput-Nya dalam keadaan menuntut ilmu dan berbakti kepada agama, maka pemergiannya bukan kehampaan ia adalah kemuliaan:

“إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ”

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya jua kami akan kembali.” (Surah al-Baqarah: 156)

Nabi SAW bersabda:

«مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ حَتَّى يَرْجِعَ»

“Sesiapa yang keluar menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sehingga dia kembali.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2649 – Hadis Hasan)

Dan sesungguhnya mereka tidak kembali ke kampus, tetapi mereka kembali kepada Allah dalam jalan-Nya. Mereka bukan korban biasa. Mereka adalah korban perjuangan ilmu yang suci.

Wahai ayah, wahai ibu… Redalah. Tabahlah. Bersabarlah… Nabi SAW menenangkan hati mereka yang diuji dengan sabda:

«إِذَا مَاتَ وَلَدُ الْعَبْدِ قَالَ اللهُ لِمَلَائِكَتِهِ: قَبَضْتُمْ وَلَدَ عَبْدِي؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ، فَيَقُولُ: قَبَضْتُمْ ثَمَرَةَ فُؤَادِهِ؟ فَيَقُولُونَ: نَعَمْ، فَيَقُولُ: مَاذَا قَالَ عَبْدِي؟ فَيَقُولُونَ: حَمِدَكَ وَاسْتَرْجَعَ، فَيَقُولُ اللهُ: ابْنُوا لِعَبْدِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
وَسَمُّوهُ بَيْتَ الْحَمْدِ»

“Apabila anak hamba-Ku meninggal dunia, Allah bertanya kepada para malaikat-Nya: ‘Kamu ambil buah hatinya?’ Mereka menjawab: ‘Ya.’ Lalu Allah bertanya: ‘Apa yang diucap oleh hamba-Ku?’ Mereka menjawab: ‘Dia memuji-Mu dan mengucap inna lillah…’ Lalu Allah berfirman: ’Binalah untuknya sebuah rumah di syurga dan namakan ia Rumah Pujian (Bayt al-Hamd).” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1021 – Hadis Hasan Sahih)

Kata Ibn al-Qayyim:

فَإِذَا أَخَذَ اللَّهُ شَيْئًا مِنْكَ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ يُرِيدُ أَنْ يُعْطِيَكَ خَيْرًا مِنْهُ، وَإِذَا أَبْطَأَ عَنْكَ فِي الْعَطَاءِ، فَاعْلَمْ أَنَّهُ يُرِيدُ أَنْ يَبْتَلِيَكَ فِي صَبْرِكَ

“Jika Allah mengambil sesuatu daripadamu, maka ketahuilah bahawa Dia hendak menggantikannya dengan yang lebih baik. Dan jika Allah melambatkan pemberian-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sedang menguji kesabaranmu.”

(Rujukan: Ibn al-Qayyim, Tariq al-Hijratayn, hlm. 282)

Mereka bukan sahaja telah kembali kepada Pencipta mereka, tetapi kembali sebagai mereka yang syahid, sebagai pencinta ilmu, sebagai insan yang Allah muliakan.

Dan kepada semua yang tinggal, Sabda Rasulullah SAW mengajar doa kala ditimpa musibah:

«اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَاخْلُفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا»

“Ya Allah, berilah aku ganjaran atas musibah ini dan gantikan untukku dengan yang lebih baik daripadanya.” (Riwayat Muslim, no. 918)

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ، وَارْفَعْ دَرَجَاتِهِمْ، وَأَسْكِنْهُمْ فِي فَسِيحِ جِنَانِكَ، وَأَلْهِمْ أَهْلَهُمْ الصَّبْرَ وَالسُّلْوَانَ

“Ya Allah, ampunilah mereka, angkatkan darjat mereka, tempatkan mereka di syurga-Mu yang luas, dan berilah ketabahan serta ketenangan buat keluarga mereka.”

DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Pengerusi Khidmat Malaysia
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -