
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menghentikan serta-merta pengumpulan data rakyat oleh SKMM susulan pendedahan projek Mobile Phone Data (MPD) yang melibatkan kutipan butiran panggilan telefon dan penggunaan internet.
Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan sama ada langkah itu akan diteruskan secara senyap oleh kerajaan sekiranya tidak didedahkan media antarabangsa seperti dilakukan South China Morning Post (SCMP).
“Dikatakan bahawa pada 19 April 2023 lagi Kabinet telah membuat keputusan berkaitan MPD ini. Adakah selama dua tahun sejak keputusan dibuat, kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) telah mula mengumpul data.
“Walaupun secara rintis, secara senyap-senyap tanpa memberitahu rakyat bahawa mereka sedang dipantau?” soalnya terhadap tindakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu.
Beliau turut memandang serius tindakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mempertahankan SKMM, sambil menyifatkan kenyataan bahawa data tersebut adalah ‘berbentuk agregat’ dan ‘bukan peribadi’ sebagai lemah.
“Hakikatnya, arahan ini membuka pintu kepada pelanggaran hak privasi rakyat dan risiko pelbagai manipulasi data oleh mereka yang berkuasa. Ini kerana data yang dikumpulkan masih boleh digabungkan dengan sumber data lain.
“Untuk menghasilkan profil individu dengan tujuan yang hanya diketahui oleh mereka yang memegang kuasa. Walaupun kita mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi, penguatkuasaannya masih lemah dan kerajaan juga tidak tertakluk kepada Akta ini.
“Tanpa mekanisme pengawasan bebas dan berkredibiliti, tidak ada jaminan bahawa data yang dikumpulkan tidak akan disalah guna untuk tujuan pemantauan politik, penyekatan maklumat, atau pelanggaran hak asasi,” ujarnya.
Tambah Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, kerajaan hari ini dilihat gagal disebabkan tiada hala tuju, kompetensi dan komitmen kepada reformasi, manakala pemimpin-pemimpin mereka pula sibuk mencaturkan ahli keluarga ke tampuk kuasa.
“Kalau diberikan data seluas langit pun, kegagalan PH-BN tak akan dapat diperbaiki. Pada permukaan, arahan ini kelihatan seperti satu pendekatan moden. Tetapi sebenarnya ini adalah pintu belakang kepada pencerobohan privasi berskala besar.
“Melihat kepada kerakusan pelbagai tindakan SKMM mahu menjadikan ‘Abang Besar’ dalam dunia digital, dan sikap berat sebelah yang ditunjukkan oleh SKMM.
“Saya juga menggesa sebuah jawatankuasa bebas rentas parti ditubuhkan di parlimen untuk memantau dan menilai semula kuasa pengawasan SKMM,” katanya.
SCMP baru-baru ini mendedahkan bahawa SKMM telah menghantar surat kepada syarikat telekomunikasi dengan arahan supaya menyerahkan butiran lengkap log panggilan dan internet pengguna bagi tiga bulan pertama tahun ini.
Kegagalan mematuhi arahan tersebut akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, yang membawa hukuman denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama enam bulan – HARAKAHDAILY 10/6/2025











