
ALOR SETAR: Mejar (B) Mansor Zakaria merakamkan rasa sedih dan simpati dengan insiden kemalangan bas yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Gerik, awal pagi semalam.
Tragedi itu telah mengorbankan 15 pelajar dan puluhan lain cedera, termasuk satu keluarga kenderaan Perodua Alza.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Kesihatan itu berkata, tidak dinafikan terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan ini.
Antaranya kata beliau, keadaan jalan raya di laluan berkenaan yang perlu dinaik taraf segera, berikutan jalan tersebut merupakan laluan penting menghubungkan Pantai Timur dengan kawasan utara seperti Kedah dan Perlis.
Saban tahun ujarnya, terutamanya ketika musim perayaan, laluan itu mengalami kesesakan yang teruk, hingga menyebabkan perjalanan empat atau lima jam memakan masa sehingga kesembilan jam.
“Melalui tinjauan, didapati keadaan jalan ini masih banyak kelemahan seperti kekurangan lorong memotong, keadaan permukaan jalan yang tidak rata, kerosakan jalan seperti lubang dan sistem pencahayaan yang tidak mencukupi.
“Semua ini menyumbang kepada risiko kemalangan. Sudah sampai masanya kerajaan meneliti keperluan menaik taraf jalan ini untuk keselesaan dan keselamatan pengguna,” tegas beliau pada kenyataannya hari ini.
Selain itu, beliau juga menyarankan agar satu pasukan bomba dan penyelamat diwujudkan secara tetap di kawasan Banding kerana kawasan itu selain merupakan laluan mendaki dan berbukit, ia juga berhampiran dengan kem tentera, kawasan rekreasi, serta penempatan.
“Tubuhkan pasukan penyelamat tetap di situ yang lengkap dengan ambulan yang boleh memberi bantuan kecemasan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang insiden.
“Ketika ini, bantuan dari Gerik atau Jeli, jaraknya agak jauh dan memerlukan masa yang panjang untuk tiba dikawasan kemalangan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil itu lagi.
Dengan adanya pasukan penyelamat tegasnya, secara tidak langsung memberi keyakinan kepada pengguna jalan raya yang bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga pelancong yang menggunakan laluan itu untuk tujuan pelancongan mahupun perhubungan antara negeri.
“Kita berharap pihak Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kerja Raya dan agensi berkaitan, memberi perhatian yang serius terhadap isu ini demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.
“Walaupun terdapat pengakuan daripada pemandu, brek bas gagal berfungsi tetapi kejadian ini tetap menjadi satu peringatan penting buat kita semua agar lebih berwaspada di masa akan datang,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu keluarga yang menaiki Perodua Alza tersebut kini menerima rawatan di Hospital Baling, bagaimanapun pemandu, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan anak bongsunya, Muhammad Ahsan Nafis berusia dua tahun sudah dibenarkan pulang, semalam.
Namun Mohd Lufti masih berada di wad bagi menjaga isterinya dan seorang lagi anaknya yang cedera.
Menurut Mansor yang berkesempatan menziarahi keluarga tersebut di Hospital Baling, pagi tadi, mangsa pada awalnya mendapat rawatan di Hospital Gerik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Baling.
“Mohd Lutfi ini guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Malau, Kulim. Beliau hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.
“Tetapi isterinya, Nurul Ain Zakaria, mengalami patah tulang rusuk sebelah kiri, anak perempuannya pula, Nur Aisyah Nafishah yang berumur enam tahun, patah paha kanan.
“Mereka berdua masih berada di wad menerima rawatan,” jelas beliau, kepada Harakahdaily, ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mansor, kereta yang dipandu mangsa bersama keluarga di rempuh dari arah belakang pada kejadian kemalangan berkenaan sehingga berpusing beberapa kali sebelum terjatuh ke dalam longkang.
“Alhamdulillah, pihak hospital menempatkan keluarga ini di wad yang sama untuk memudahkan pemantauan dan membenarkan Mohd Lutfi menjaga isterinya dan seorang lagi anaknya yang cedera.
“Saya berbual dan melihat keadaan beliau beransur pulih, begitu juga anak bongsu, tiada kesan luka,” tambahnya pada lawatan yang diturut disertai Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











