
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Dato’ Seri Anwar Ibrahim cuba mengelak daripada dihadapkan ke mahkamah dengan bersandarkan alasan Perlembagaan memperuntukkan kekebalan (immunity) bagi Perdana Menteri.
Menurut beliau, tindakan itu dibuat kerana Perdana Menteri ke-10, Anwar mengetahui dirinya akan didapati bersalah jika dibicarakan.
“Kenapa cuba elak dari dibicara di mahkamah? Kerana Dato’ Seri Anwar tahu dirinya akan didapati bersalah. Kalau tetap menang tentulah lebih baik jika mahkamah mendapati dirinya tidak bersalah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir turut mempersoalkan sekiranya diberikan kekebalan dalam satu kes, tidak mustahil kekebalan itu akan turut digunakan dalam kes lain.
“Kalau diberi ‘immunity’ berkenaan satu kes, tak akan kes lain tidak ‘immune’. Tentu immune punya. Jadi Perdana Menteri boleh bunuh orang pun okaylah,” sinisnya.
Beliau turut berkata pelaksanaan undang-undang di negara ini bersifat pilih bulu dan tidak adil apabila hukuman terhadap sesetengah individu yang telah dijatuhi sabitan di mahkamah tidak dilaksanakan.
“Di Malaysia pelaksanaan undang-undang pilih bulu. Bagi satu orang yang mahkamah tinggi sudah hukum salah, hukuman tidak dilaksana kerana konon menunggu keputusan rayuan (appeal). Apabila appeal court juga mendapati ia salah, masih juga hukuman tidak dilaksana,” katanya.
Katanya, berbeza dengan individu lain, ada yang dimasukkan dalam tahanan berbulan-bulan semasa siasatan, sebelum didakwa di mahkamah.
“Bagi orang lain sebelum pun dibicara di mahkamah, hanya semasa siasatan, mereka akan dimasuk dalam tahanan berbulan-bulan, harta dirampas, keluarga ditekan. Pendek kata sebelum pun didapati bersalah sudah dihukum, didera. Itu bagi orang lain,” katanya.
Dr Mahathir berkata, walaupun rakyat tertakluk kepada undang-undang yang sama, pelaksanaannya tidak berlaku secara adil dan saksama.
“Memang benar dalam kes seperti membunuh atau mengedar dadah, yang dituduh boleh dimasuk dalam tahanan sementara siasatan dibuat. Tetapi kerap juga kes yang tidak serius, dimasuk dalam tahanan juga. Kemudian dibebas tanpa sebab.
“Inilah reformasi yang dilaung, dijanji. Jelaslah siapa kaki bohong,” bidasnya.
Media tempatan melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang, termasuk isu kekebalan Perdana Menteri, kepada Mahkamah Persekutuan.
Permohonan itu berkaitan saman sivil oleh bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther, yang mendakwa berlaku serangan seksual pada 2018.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan tiada isu perlembagaan yang nyata dan boleh diadili bagi dirujuk mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











