Imej perjuangan Islam perlu dijaga – Dato’ Mohd Amar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan bahawa imej jemaah yang memperjuangkan Islam kini berada pada tahap tinggi dan dihormati, justeru ia perlu dijaga sebaiknya agar tidak tercalar di pertengahan jalan.

- Advertisement -

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, walaupun kelihatan seolah-olah Putrajaya hampir digapai, namun perjuangan ke arahnya bukan sesuatu yang mudah.

“Imej ini perlu dijaga sebaiknya, agar tidak tercalar di pertengahan jalan. Jika kita betul dalam langkah dan tertib dalam gerak, insya-Allah, kita akan sampai,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, ahli jemaah perlu menjaga kebersihan zahir dan batin agar disenangi masyarakat.

“Biarlah kita bersih, zahir dan batin. Dilihat orang pun menyenangkan, ibarat seorang yang layak dijadikan menantu dalam keluarga,” jelasnya.

Beliau berkata, Aidiladha membawa tema pengorbanan dan mengingatkan umat Islam bahawa syaitan menjadi ujian paling mencabar dalam perjalanan menuju keredaan Allah.

“Dalam perjalanan jauh menuju keredaan Allah, syaitan menjadi ujian paling mencabar, mengheret hati agar tersasar dari amal yang ikhlas. Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia dengan segala daya.

“Dan Tuhan, dengan ilmu-Nya yang Maha Luas, membenarkan ujian itu berlangsung hingga ke akhirat, sebagai medan untuk melihat siapa yang paling tulus amalnya,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa nafsu adalah laluan halus yang digunakan iblis untuk menyesatkan manusia dan ia perlu dikawal dengan bijaksana.

“Jika nafsu itu dikawal, titian iblis melemah. Jika dibiarkan, ia menjadi kuat dan menggoda. Bila kita berjaya menundukkannya, perjalanan menuju Allah menjadi lebih tenang, dan amal kebaikan tumbuh subur dalam jiwa.

“Allah tidak memerintahkan kita mematikan nafsu, tetapi mengawalnya dengan bijaksana. Jihad melawan nafsu adalah perjuangan yang agung.

“Siapa yang gentar akan keagungan Tuhannya, lalu menahan diri daripada tunduk kepada hawa nafsu, maka syurga adalah balasannya yang abadi,” jelasnya.

Katanya, kelebihan manusia melebihi malaikat adalah kerana manusia diuji dengan nafsu dan cabaran itu bermula seawal pagi.

“Kerana itulah manusia lebih mulia daripada malaikat. Kita diberikan nafsu, diuji sejak celik mata, sedang malaikat tidak bernafsu, tidak berjantina, dan hanya menurut perintah. Cabaran kita bermula seawal azan subuh, dan ada yang sudah tersungkur di situ,” ulasnya.

Menurutnya, cabaran dalam jemaah Islam jauh lebih besar kerana ia menuntut pengorbanan masa, tenaga, harta dan ilmu demi perjuangan suci.

Mohd Amar turut mengimbas sejarah kedatangan Islam ke rantau ini yang dibawa oleh pendakwah dari Yaman dengan penuh pengorbanan dan akhlak baik.

“Islam tidak hadir ke bumi Nusantara dengan mudah. Ia tersebar kerana ada insan terdahulu yang rela berkorban jiwa dan raga. Pendakwah dari Yaman meninggalkan keluarga, keselesaan hidup dan meredah lautan.

“Tampil dengan akhlak yang bersih dan harum, membawa dagangan dan kasih sayang. Dari situlah hati kita terpaut, lalu menerima Islam dengan penuh cinta, berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie yang mereka wariskan.

“Selamat Hari Raya Aidiladha. Semoga ruh pengorbanan Nabi Ibrahim mengalir dalam diri kita, membakar semangat perjuangan, memandu langkah sebagai jemaah yang bersih, menggalas harapan ummah dan istiqamah hingga ke akhirnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -