
RUMAH tangga sepatutnya menjadi tempat berteduh dari ribut dunia. Ia dibina atas asas kasih sayang, tolak ansur dan saling menghormati. Suami ditugaskan sebagai ketua, pelindung dan pembimbing. Namun apabila tangan yang sepatutnya memeluk dan membela, berubah menjadi tangan menghayun senjata membunuh isteri sendiri, maka runtuhlah segala nilai dan peranan digalas seorang lelaki dalam sebuah perkahwinan.
Tragedi yang meragut nyawa Iecah Junus, 34 tahun, di Bukit Gambir, Tangkak, Johor adalah bukti betapa kegagalan memahami dan menghayati amanah sebagai suami boleh mengheret rumah tangga ke jurang kemusnahan paling gelap.
Iecah, ditemukan mati dalam keadaan ngeri di ruang tamu rumahnya, berbalut selimut dengan kesan kelar yang jelas di leher. Lebih memilukan, senjata digunakan untuk membunuhnya adalah pisau pemotong sayur satu peralatan rumah yang sering digunakan isteri dalam tugas harian memasak untuk keluarga.
Suspek juga suaminya, 33 tahun, bukan sahaja mengakhiri nyawa isteri yang selama ini berkongsi kehidupan dengannya, malah bertindak melarikan diri sejauh 40 kilometer ke rumah ibu mentuanya dengan niat membakar pula rumah itu.
Tindakannya sempat memusnahkan beberapa kenderaan milik keluarga mentua, sebelum dia kembali ke rumah dan akhirnya ditahan pihak polis.
Anehnya, perkahwinan yang sepatutnya menjadi ruang membina kehidupan bersama, berubah menjadi medan pertumpahan darah apabila amanah suami dicabuli.
Sedangkan dalam Islam, suami bukan sahaja bertanggungjawab memberi nafkah, tetapi juga memelihara emosi, keselamatan dan kehormatan isteri.
Allah telah mengamanahkan peranan itu dengan berat suami adalah qawwam (pemimpin) dalam rumah tangga, bukan diktator, bukan penghukum, apatah lagi pembunuh.
Tindakan suspek ini bukan hanya satu jenayah terhadap manusia, bahkan pengkhianatan terhadap akad nikah yang telah mengikat mereka dalam janji suci. Setiap saksi yang pernah hadir pada hari pernikahan mereka menjadi saksi kepada pengingkaran kejam ini.
Laporan siasatan mendedahkan bahawa konflik dalam rumah tangga pasangan ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Mangsa dipercayai telah dikawal pergaulannya, malah dihalang daripada berhubung dengan keluarganya sendiri.
Apa yang berlaku menunjukkan penderaan dalam rumah tangga bukan hanya berlaku dalam bentuk fizikal, tetapi juga emosi dan psikologi suatu bentuk penderaan yang lebih sunyi dan tidak mudah dikesan.
Namun penderitaan Iecah bukan berakhir dengan tangisan ia berakhir dengan pembunuhan. Penderaan yang tidak ditangani, dibiar berlarutan atas alasan ‘sabar’, akhirnya mengorbankan nyawa.
Kejadian ini sewajarnya menjadi peringatan kepada semua wanita di luar sana bahawa isyarat pertama suami mengangkat tangan adalah loceng kecemasan.
Ia bukan satu insiden yang boleh dianggap terpencil atau ‘biasa’. Sekali tangan diangkat, akan ada kali kedua, dan akhirnya mungkin tiada peluang untuk bertahan kali seterusnya.
Dalam masyarakat yang sering meletakkan beban mempertahankan rumah tangga di atas bahu isteri, tragedi seperti ini menunjukkan bahawa kesabaran tanpa keselamatan bukanlah kebaikan, tetapi kepayahan yang boleh membawa maut.
Suami perlu memahami bahawa peranan mereka dalam rumah tangga bukanlah untuk menguasai, tetapi untuk memimpin dengan kasih sayang.
Bukan untuk menghukum, tetapi untuk membimbing. Jika seorang lelaki tidak mampu mengurus emosi, gagal menyelesaikan konflik dengan bijak, dan memilih kekerasan sebagai jalan penyelesaian, maka dia telah menzalimi amanah yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Apabila tangan suami menjadi senjata, maka rumah tangga sudah bukan lagi tempat selamat. Iecah telah menjadi korban kepada kezaliman ini, dan mungkin ramai lagi wanita sedang menanti giliran jika masyarakat masih memilih untuk mendiamkan penderitaan mereka.
Tragedi ini juga menuntut perhatian pihak berkuasa dan masyarakat. Perlindungan kepada wanita mesti menjadi keutamaan. Undang-undang bukan sekadar tertulis dalam buku, tetapi perlu dilaksanakan dengan tegas dan pantas. Segala aduan harus diambil serius, bukan dipandang ringan sebagai ‘hal rumah tangga’.
Lebih penting, pendidikan menegnai hak dan tanggungjawab dalam rumah tangga perlu digiatkan. Lelaki harus diajar sejak awal bahawa menjadi suami bukan lesen untuk mengawal, apatah lagi menyakiti.
Dan wanita pula harus diajar bahawa keselamatan dan maruah diri tidak boleh dikorbankan atas nama ‘setia’.
Iecah mungkin tidak sempat diselamatkan. Namun kisahnya wajib menjadi titik tolak untuk menyedarkan wanita lain bahawa nyawa lebih penting daripada imej rumah tangga yang kononnya bahagia.
Bahawa tangan yang menghayun pukulan bukan tangan seorang pemimpin keluarga, tetapi tangan seorang pelaku jenayah.
Dan apabila suami sudah mula naik tangan, isyaratnya jelas, jangan tunggu lagi. Buat sesuatu. Selamatkan diri sebelum nyawa sendiri diragut. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











