3 jam 40 minit: 11 lembu, 23 kambing dikorbankan

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

- Advertisement -

NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

ARAU: Semangat pengorbanan sempena Aidiladha disemarakkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila Majlis Ibadah Korban dan Akikah 1446H/2025M berjaya melakar kejayaan tersendiri dalam tempoh masa yang cukup singkat.

Bertempat di Dataran Parkir Bas, Kubang Gajah semalam, sebanyak 11 ekor lembu dan 23 ekor kambing berjaya disembelih serta diuruskan sepenuhnya hanya dalam masa 3 jam 40 minit.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Islam (PIMPIN), Ustaz Muhammad Adib Hassan berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama lebih 250 sukarelawan dan petugas yang bertungkus-lumus sejak awal pagi.

“Seramai 250 staf, 15 orang tenaga lapah, dan tiga orang penyembelih telah bertungkus-lumus seawal jam 8.15 pagi dan Alhamdulillah tepat jam 11:55 tengahari, urusan penyembelih selesai dan diteruskan dengan aktiviti pengagihan sehingga jam 1 tengahari,” katanya semalam.

Majlis ini turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Ts Dr Zaliman Sauli yang merasmikan program, dengan turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Ustaz Adib berkata, kejayaan melaksanakan proses penyembelihan dalam tempoh yang begitu singkat adalah hasil perancangan rapi serta komitmen menyeluruh daripada semua pihak terlibat.

Lebih menarik, program kali ini turut mencatat peningkatan penyertaan, khususnya dalam kalangan warga kerja UniMAP.

Seramai 92 staf menyertai ibadah korban dengan menyumbang secara ansuran selama 10 bulan iaitu RM90 sebulan bagi lembu dan RM110 sebulan bagi kambing.

“Penyertaan tahun ini mencatatkan peningkatan dengan 92 staf UniMAP menyertai program korban secara caruman selama 10 bulan,” jelasnya.

Sokongan luar juga tidak kurang hebatnya apabila RHB Bank tampil menyumbang seekor lembu untuk tujuan ibadah, memperlihatkan kerjasama erat antara institusi kewangan dan pendidikan tinggi.

“Terima kasih kepada pihak RHB yang turut sama dalam program kita ini yang saya yakin telah menjadi nilai tambah kebersamaan antara institusi kewangan dan pendidikan tinggi,” tambah beliau.

Menurut Ustaz Adib lagi, program tahunan ini bukan sekadar melaksanakan ibadah korban tetapi juga membawa nilai sosial dan ukhuwah yang mendalam dalam kalangan warga universiti.

“Tahun ini agihan daging korban disalurkan kepada empat kategori penerima iaitu komuniti penduduk Kampung Gajah, Staf UniMAP, pelajar Maahad Tahfiz, dan golongan asnaf setempat,” jelasnya.

Program korban ini menjadi manifestasi semangat Aidiladha dalam bentuk amal kebajikan dan gotong-royong, serta wadah penting memperkukuh hubungan silaturrahim antara staf, pelajar dan masyarakat sekitar.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir membantu dan kelancaran program ini bukan sahaja menyemarakkan ibadah korban, malah mempererat hubungan silaturahim antara staf dan masyarakat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -