
SHAH ALAM: Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin menyifatkan cabaran oleh Sisters in Islam (SIS) terhadap fatwa diwartakan terhadap mereka sebagai ancaman pemikiran yang mampu meruntuhkan institusi fatwa serta kesucian akidah umat Islam di negara ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor itu berkata, tarikh 19 Jun 2025 akan menjadi detik penting buat umat Islam di Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan dijangka memutuskan sama ada fatwa diwartakan Jawatankuasa Fatwa Selangor terhadap SIS akan kekal atau dibatalkan.
“Keputusan ini bukan sekadar bersifat perundangan, tetapi merupakan ancaman pemikiran yang mencabar kesucian akidah umat Islam dan meruntuhkan keabsahan institusi fatwa.
“Sejak 2020, SIS berusaha mencabar fatwa yang mengisytiharkan ideologi mereka sebagai menyimpang daripada ajaran Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
ADN Sungai Burong itu menjelaskan, tindakan SIS membuka ruang yang amat berbahaya sekiranya Mahkamah kelak memutuskan untuk membatalkan fatwa berkenaan kerana ia boleh menjadi ‘precedent’ kepada lebih banyak cabaran terhadap autoriti agama.
“Ia akan membuka laluan kepada lebih banyak gerakan liberal dan sekular untuk mencabar autoriti agama di mahkamah sivil,” terangnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bermunajat dan menyedari hakikat ancaman yang dibawa oleh fahaman menyeleweng.
“Kami menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk bermunajat agar Allah menetapkan kemenangan kepada kebenaran dan melindungi agama ini daripada kekeliruan serta penyimpangan.
“Menyedari hakikat ancaman yang dibawa oleh fahaman yang menyeleweng walau dibungkus dengan nama hak asasi dan kebebasan bersuara. Bersatu mempertahankan institusi fatwa sebagai benteng akidah dan pegangan umat Islam di Malaysia.
“Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah proaktif untuk mengangkat kedudukan institusi fatwa ke tahap yang lebih tinggi dalam negeri ini,” serunya.
Beliau turut menzahirkan doa agar umat Islam di Malaysia sentiasa berada dalam perlindungan dan petunjuk Allah SWT.
“Ya Allah, lindungilah umat Islam di Malaysia. Tetapkan kami atas jalan kebenaran dan jangan Engkau serahkan urusan kami kepada mereka yang tidak takut kepada-Mu,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan SIS Forum (Malaysia) dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, mengemukakan rayuan terhadap fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa berkenaan yang diwartakan pada 31 Julai 2014 turut mengarahkan pengharaman serta rampasan penerbitan berfahaman liberal dan plural, selain penapisan laman sosial bertentangan dengan ajaran Islam.
Permohonan semakan kehakiman SIS Forum ditolak di Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019 dan rayuan mereka juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2023.
Namun, Mahkamah Persekutuan pada 21 Ogos 2023 membenarkan SIS Forum meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Kes berkenaan turut menamakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 19 Jun ini sebagai tarikh keputusan rayuan. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











