Jelapang Langkap akan dipulihkan secara berperingkat

Pulih kawasan sawah padi 400 hektar

Azman Ibrahim (baju kelabu) ketika melawat Tapak Projek Penanaman Padi Skim Pengairan Padi di Kampung Jelapang, Langkap
- Advertisement -

SETIU: Kerajaan Terengganu komited memulihkan projek Pengairan Kampung Jelapang Langkap yang terbengkalai sejak 2007 bagi memastikan kawasan sawah padi seluas kira-kira 400 hektar itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, usaha memulihkan projek yang telah menelan kos RM47 juta itu jauh lebih rumit berbanding memulakan projek baharu.

“Namun, sama ada rumit atau tidak, projek Pengairan Kampung Jelapang Langkap yang dimulakan pada 2007 perlu dipulihkan.

“Projek bernilai RM47 juta seluas kira-kira 400 hektar sampai sekarang ini gagal ditanam padi disebabkan isu pengairan, tanah jerlus dan sisa kayu dalam petak sawah dan beberapa isu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Ke Tapak Projek Penanaman Padi Skim Pengairan Padi di Kampung Jelapang, Langkap, di sini.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) kini bekerjasama rapat dengan syarikat tempatan, Qudsi Global, untuk merangka pelan pemulihan secara berfasa.

“Lawatan lokasi bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah Setiu, TADC dan Syarikat Qudsi Global untuk kita selesaikan secara berperingkat satu persatu isu.

“Permasalahan yang berbangkit seterusnya membangunkan tanaman padi di sini secara berfasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -