
CADANGAN perluasan penggunaan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) berwarna ungu tanpa subsidi memberi kesan besar kepada kelangsungan perniagaan kecil dan penjaja makanan di negeri ini, khususnya yang berada dalam kategori berpendapatan rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata, pelaksanaan penggunaan tong gas tanpa subsidi akan memberi impak langsung terhadap kos operasi harian peniaga kecil khasnya golongan wanita.
“Antara kesannya ialah kenaikan kos operasi. Harga tong gas tanpa subsidi jauh lebih mahal dan ini akan menambahkan beban kewangan kepada peniaga kecil serta penjaja makanan yang menggunakan gas setiap hari dalam urusan memasak dan penyediaan makanan,” katanya.
Tambahnya, kesan itu bukan hanya dirasai oleh peniaga tetapi akan menjejaskan keseluruhan rantaian makanan.
“Peniaga mungkin terpaksa menaikkan harga jualan bagi menampung kos baharu tersebut. Ini memberi kesan kepada pelanggan yang juga pengguna biasa, lalu mengurangkan permintaan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
“Akhirnya, ia menyebabkan penurunan hasil jualan dan menjejaskan daya saing serta keberlangsungan operasi mereka,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer.
Dalam konteks Perlis yang majoriti peniaganya terdiri daripada penjaja kecil di pasar malam, gerai makanan tepi jalan serta pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan, peralihan kepada penggunaan tong gas tanpa subsidi ini dijangka akan lebih dirasai dan membebankan.
Untuk rekod, tong gas LPG subsidi berwarna kuning adalah untuk kegunaan isi rumah dan sebahagian kecil sektor peniaga kecil yang dibenarkan.
Manakala tong gas ungu pula adalah versi komersial tanpa subsidi yang diperkenalkan sebagai langkah penyeragaman harga pasaran dan pengurangan beban subsidi kerajaan.
Sebagai contoh, harga pasaran bagi tong gas subsidi 14 kilogram sekitar RM26.60, manakala tong gas komersial boleh mencecah sehingga RM52 ke atas bagi saiz yang sama hampir dua kali ganda.
Perbezaan harga ini memberi tekanan besar kepada peniaga yang bergantung kepada penggunaan gas setiap hari, terutamanya dalam perniagaan makanan dan minuman.
Seiring usaha Kerajaan Pusat memperketatkan penguatkuasaan terhadap salah guna gas subsidi oleh peniaga, ramai usahawan kecil terpaksa mempertimbangkan untuk beralih kepada tong gas komersial.
Namun, realiti semasa khususnya di negeri kecil seperti Perlis menjadikan peralihan ini sukar diterima oleh populasi peniaga kecil yang besar berbanding jumlah penduduknya.
Ekonomi rakyat banyak bergantung kepada aktiviti keusahawanan mikro, termasuk penjaja makanan, gerai minuman, pengusaha kuih tradisional, katering berskala kecil dan perniagaan berasaskan makanan dari rumah.
Kebanyakan peniaga ini tergolong dalam kumpulan B40 yang berpendapatan rendah dan menjalankan operasi perniagaan dengan modal minimum.
Subsidi gas LPG selama ini menjadi antara faktor yang membolehkan mereka mengekalkan harga makanan berpatutan kepada pelanggan sambil mendapat sedikit keuntungan.
Ketiadaan subsidi akan menyebabkan mereka perlu menaikkan harga jualan.
Namun, dalam situasi ekonomi masih mencabar dan kuasa beli rakyat semakin merosot, peniaga berisiko kehilangan pelanggan yang tidak mampu membayar harga baharu. Akhirnya, mereka mungkin terpaksa gulung tikar.
Menurut Wan Badariah, ini memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga peniaga terbabit dan secara tidak langsung mengheret mereka kepada tekanan ekonomi yang lebih parah.
“Ianya memberi tekanan ekonomi kepada peniaga dan pengguna,” tegasnya.
Implikasi jangka panjang daripada dasar ini juga ujar Wan Badariah, boleh membawa kepada peningkatan kadar pengangguran tidak rasmi.
“Apabila peniaga kecil tidak mampu menampung kos operasi, ramai yang terpaksa menghentikan perniagaan.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan individu dan keluarga, bahkan melemahkan sektor ekonomi tidak formal yang selama ini menjadi penyumbang kestabilan sosial dan ekonomi tempatan.
“Lebih membimbangkan, banyak perniagaan kecil ini dikendalikan oleh wanita dan ibu tunggal yang menjana pendapatan sendiri demi menyara keluarga,” tambahnya lagi.
Pengurangan pendapatan atau kehilangan sumber rezeki ini katanya, akan turut membantutkan agenda pemberdayaan ekonomi wanita yang menjadi antara fokus pembangunan negeri. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











