
KUALA LUMPUR: Mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil menyifatkan tindakan menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengukuhkan ringgit dan memacu Bursa Malaysia sebagai satu tindakan yang tidak cerdik.
Beliau membidas, tindakan menjual aset berkualiti milik negara di luar negara, membawa balik dana tersebut untuk membeli ringgit dan kemudian dipam masuk ke Bursa saham.
“Akhirnya kata beliau, menyebabkan kerugian kepada dana pencarum apabila nilai pasaran saham masih merudum dan ringgit tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
“Ini adalah satu tindakan yang bodoh pada saya. Pergi jual aset kita yang berkualiti, bawa balik duit itu beli ringgit, lepas itu pam ke Bursa saham itu meruap, Bursa kita masih merudum dan ringgit kita masih tidak ‘improve’. Habisnya duit EPF kita yang habis,” ujarnya.
Beliau merujuk kenyataan KWSP (EPF) semalam bahawa pendapatan pelaburan badan itu bagi suku pertama tahun ini jatuh 13 peratus berbanding tahun lalu, iaitu daripada RM20.99 bilion kepada RM18.31 bilion.
“Ini juga termasuk RM1.02 bilion ‘mark to market’. ‘Mark to market’ ini harga di atas kertas, yang dia tak jual benda itu tapi harga di atas kertas pada aset itu ataupun saham itu.
“Katakan kamu pegang saham, harga masa kamu beli dulu RM1 tetapi sekarang nilainya hari ini RM2. Jadi kamu untung RM1. Tapi itu kamu tak jual, kamu tak dapat keuntungan itu.
“Tapi dalam kes ini dia ‘mark to market’, atas kertas saja dia isytihar keuntungan itu sebagai pendapatan ataupun ‘income’,” terang beliau dalam satu video di media sosial miliknya.
Menurutnya, beberapa isu timbul apabila pendapatan KWSP susut sebanyak 13 peratus atau RM2.68 bilion.
“Saya dah cakap dah benda ini dulu, tahun lepas, berkenaan dengan apabila mereka gunakan dana-dana daripada GLIC atau syarikat pelaburan kerajaan termasuklah KWSP ini untuk menguatkan ringgit,” imbasnya.
Beliau berkata, tahun lalu Gabenor Bank Negara dan Menteri Kewangan membuat kenyataan bahawa syarikat berkaitan kerajaan termasuk KWSP akan membantu mengukuhkan ringgit.
“Masa itu saya cakap (tanya) kamu pakai dana EPF untuk apa? Untuk jual kita punya aset di luar negeri? Lepas itu bawa balik dana ini dan untuk beli ringgit untuk kukuhkan ringgit? Lepas itu duit yang bila mereka beli ringgit, dia ‘pump in’ kepada Bursa saham tempatan?
“Saya tanya mereka, adakah ini yang kamu buat? Mula-mula dulu dia tak mengaku. Orang-orang kerajaan kata mana ada, Isham Jalil cakap tak betul, cakap bohong. Sekali tiba-tiba penganalisa kewangan antarabangsa, mengatakan bahawa Malaysia buat benda-benda ini.
“Lepas itu baru mereka mengaku yang mereka telah gunakan dana untuk mengukuhkan ringgit dan beli balik ringgit ini. Saya cakap benda ini tak masuk akal.
“macam kamu meniaga nasi lemak, nasi lemak kamu tak laku, kamu beli sendiri nasi lemak kamu itu. Habisnya nasi lemak kamu basi, tak ada orang makan, duit simpanan kamu sendiri yang habis,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, tindakan tersebut memberi kesan kepada pendapatan wang simpanan hari tua rakyat apabila pendapatan KWSP jatuh 13 peratus pada suku pertama.
“EPF kena jawab. Nombor satu, kenapa benda ini berlaku? Jangan bagi jawapan-jawapan klise pasal ‘volatility market’, ‘global uncertainty’. Itu jawapan biasa. Budak sekolah pun boleh bagi jawapan macam itu,” sindirnya.
Menurutnya, mengikut Akta KWSP, badan itu perlu memaklumkan kepada Menteri Kewangan mengenai apa yang berlaku dan menteri perlu menjawab di Parlimen.
“Menteri Kewangan kena jawab. Ahli Parlimen PH memanglah, mereka ikut saja, tak mahu tanya soalan. Tapi kita sebagai rakyat, kita kena tanya benda ini. Kenapa perkara ini berlaku? Adakah dana yang kamu pakai, dana EPF ini digunakan untuk beli balik ringgit?
“Dulu tak salah saya Menteri Kewangan Kedua jawab dalam Parlimen, betul. Dia pakai dana-dana daripada GLIC, GLC ini untuk beli balik ringgit, tapi dipulangkan ataupun dia bawa balik keuntungan. Dia cakap, cuma keuntungan. Tapi kita nak tahu keuntungan ini macam mana?
“Kamu jual saham itu. Bila kamu jual saham, kamu tak boleh jual untung saja. Kamu kena jual unit saham itu. Jadi bila kamu jual saham ini dengan unit-unit itu kamu jual, habisnya kita punya saham-saham yang bagus-bagus dekat luar negeri ini akan jatuh,” kupasnya.
Beliau turut mempersoalkan langkah membawa pulang dana dan memasukinya ke pasaran saham tempatan, yang akhirnya turut tidak menunjukkan prestasi kukuh.
“Pasaran saham kita 1,500, 1,503 ke. Apa lagi? Jatuh. Kadang naik kadang turun tapi di paras itulah. Tidak menunjukkan prestasi yang kukuhlah. Orang bawa keluar duit ini daripada pasaran saham kita yang banyak.
“Jadi apa guna kita beli ringgit, ‘pump’ pada pasaran saham kita, tapi lepas itu orang-orang daripada luar negeri ini pergi jual saham kita, dia bawa keluar balik duit. Habisnya pasaran saham kita masih merudum dan ringgit kita masih lemah.
“Hari ini ringgit RM4.24 tak salah saya. Tidak mengukuh pun. Kamu kata itu hari nak RM4.00, turun sekejap saja. Lepas itu naik balik. ‘Exactly’ apa yang saya kata tahun lepas. Sekarang ia telah memberi kesan kepada pendapatan EPF kita,” terangnya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan dana simpanan rakyat untuk percubaan dasar yang gagal.
“Kamu pakai ini untuk buat apa orang kata? ‘Magic-magic’ yang tak berguna. Ini bukan ‘magic’, ini satu benda yang ‘reckless’ lah. Pakai wang simpanan hari tua kita, kamu pergi beli ringgit, lepas itu masuk ke sini, lepas itu pergi beli saham di Bursa kita.
“Tiba-tiba benda itu meruap, ringgit kita pun tidak mengukuh, pasaran saham kita masih lemah. Habisnya kita punya pendapatan EPF kita pula yang berkurang,” ujarnya lagi.
Isham turut mempersoalkan keperluan memasukkan keuntungan belum direalisasi sebanyak RM1 bilion ke dalam pendapatan KWSP.
“Saya nak tanya, sejak bila kita pakai ‘mark to market unrealised gain’ ini sebagai ‘income’? Biasanya orang buat ‘mark to market’ ini untuk aset-liabiliti punya ‘balancing’. Kita nak tahu nilai aset dalam ‘balance sheet’. Bukan nak isytihar ‘earning’ untuk bayar dividen.
“Kita tak boleh pun ‘mark to market’ berdasarkan ‘earning’ itu untuk bayar dividen. Sebab tunai itu tak ada. Itu atas kertas saja,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan pendapatan KWSP seolah-olah kelihatan tinggi, walaupun realitinya jika dikeluarkan angka tersebut, kejatuhan pendapatan lebih besar.
“Cuba kalau kamu tak masukkan benda RM1 bilion ini, maka pendapatan kita lebih rendah, RM17 bilion. Jadi kamu hilang berapa? Lebih 20 peratus berbanding suku pertama tahun lepas. Lagi teruk.
“Adakah kamu masukkan ‘unrealised gain’, ‘mark to market’ ini sebab kamu takut kalau pendapatan tunai sebenar akan jadi lebih rendah? Soalan-soalan ini saya tanya, sampai sekarang tak berjawab,” persoalnya.
Isham turut mempersoalkan berapa banyak aset luar negara dijual untuk tujuan membeli ringgit dan memasukinya ke Bursa Malaysia.
“Rakyat nak tahu. Sebab ini duit kita. Duit saya juga. Saya ada duit dalam EPF. Berapa banyak daripada duit wang simpanan kita ini, aset yang dijual di luar negeri untuk beli ringgit.
“Berapa banyak ‘specifically’ yang kamu bawa masuk dan ‘pump in’ kepada Bursa Malaysia, dan lepas itu tiba-tiba nilai aset ini meruap dan jatuh pula saham itu. Jadi kita yang rugi. Ini adalah satu tindakan yang bodoh pada saya.
“Pergi jual aset kita yang berkualiti, bawa balik duit itu beli ringgit, lepas itu ‘pump in’ Bursa saham. Duit itu meruap, Bursa kita masih merudum dan ringgit kita masih tidak ‘improve’. Habisnya duit EPF kita. Ini yang telah terjadi berdasarkan keputusan kamu orang dalam kerajaan ini.
“Ini yang saya nak tanya, kamu kena jawab. Kalau kamu tak reti nak buat, kamu berhenti sajalah. Nak harapkan Menteri Kewangan, dia apa ke benda pun dia tak tahu. Menteri Kewangan Asia terbaik konon,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











