Aidiladha: Kerajaan negeri jamin bekal air mencukupi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi jaminan bahawa bekalan air mencukupi sepanjang musim cuti Aidiladha akan datang walaupun bertembung dengan cuti sekolah minggu ini.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, persediaan awal telah dilakukan kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi menghadapi peningkatan penggunaan air susulan kepulangan perantau.

“Meskipun jumlah yang pulang mungkin tidak seramai Aidilfitri, kita tetap menjangkakan peningkatan permintaan air,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Fadzli menambah, kerajaan negeri bersama AKSB telah bersiap siaga bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang musim ini, beritahu beliau kepada media selepas mesyuarat mingguan Exco di Mabna Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini

Tambah beliau, walaupun bacaan suhu di kawasan seperti Kuala Krai agak tinggi berbanding kawasan lain, namun keadaan cuaca di Kelantan belum terjejas dengan masalah air.

Menurutnya, faktor itu turut membantu pengurusan bekalan air apabila Kelantan sering menerima hujan.

Dr Fadzli turut menjelaskan, terdapat juga perantau yang pulang lebih awal kerana mengambil peluang cuti sekolah, sementara ada pula telah kembali ke tempat kerja masing-masing termasuk di Kuala Lumpur.

“Justeru, kerajaan negeri mengambil pendekatan sama seperti musim Aidilfitri lalu, iaitu memastikan semua persediaan dibuat awal supaya rakyat dapat menyambut perayaan dengan selesa tanpa gangguan bekalan air,” ujarnya.

Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk terus menambah baik sistem bekalan air secara berperingkat menjelang tahun 2027.

Langkah itu termasuk melalui projek pembinaan loji baharu dan penggantian paip lama di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -