Tong ungu bakal letus kesan domino atas pengguna

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menilai semula keputusan menarik balik subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) khususnya melibatkan tong gas ungu, berikutan kesannya terhadap kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

- Advertisement -

Shahir Adnan berkata, langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, terutama peniaga kecil dan isi rumah yang sebelum ini bergantung kepada subsidi untuk meringankan beban perbelanjaan harian.

“Sebelum ini, subsidi gas diberikan bagi meringankan beban pengguna domestik. Namun perubahan polisi telah menyebabkan peniaga kecil tidak lagi menikmati subsidi,” katanya yang merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat (HAKS)

Menurut Shahir, ramai rakyat mula merungut selepas mendapati harga tong gas komersial melonjak hampir tiga kali ganda berbanding harga subsidi.

“Kalau dulu harga tong subsidi RM26.60, sekarang kena sedia modal RM70 untuk satu tong komersial. Itu baru satu tong, bayangkan kalau sehari pakai dua atau tiga tong? Bebannya sangat terasa,” katanya.

Tambah beliau, penarikan subsidi ini turut memberi kesan domino, termasuk kemungkinan kenaikan harga makanan dan perkhidmatan apabila kos operasi perniagaan meningkat.

“Ketiadaan subsidi menyebabkan harga jualan meningkat secara ketara, sekaligus membebankan isi rumah serta peniaga kecil seperti penjaja makanan dan pengusaha warung.

“Dalam jangka panjang, situasi ini boleh menghakis kuasa beli rakyat dan menambah tekanan kepada ekonomi rakyat marhaen,” ujarnya yang merupakan bekas Ketua Pemuda IKATAN.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kerajaan melihat penarikan subsidi sebagai langkah penyasaran semula bantuan agar lebih bersasar dan adil, memandangkan subsidi bersifat umum sering disalah guna oleh pihak industri.

Namun begitu katanya, sebarang perubahan dasar perlu dilaksanakan secara berperingkat dan teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam suasana ekonomi yang masih tidak menentu. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -