
KUALA LUMPUR:Dewan Muslimat PAS Malaysia melahirkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga gas petroleum cecair (LPG) bagi kegunaan peniaga menyebabkan kesan ke atas pengusaha kecil dan sederhana seperti penjaja makanan dan peniaga pasar malam.
Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, walaupun harga baharu itu hanya dikenakan selepas pembelian tong gas ketiga, kadar yang ditetapkan adalah terlalu tinggi iaitu sekitar RM61.60 untuk isian semula, berbanding harga tong hijau sekitar RM26.60.
“Langkah ini dilihat sangat tidak bertepatan dengan keadaan semasa, di mana rakyat masih bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kenaikan harga gas ini bukan sahaja membebankan para peniaga, malah akan menyebabkan harga makanan dan perkhidmatan lain turut meningkat, sekali gus memberi kesan berantai kepada pengguna,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memainkan peranan sebagai pelindung kebajikan rakyat, bukannya menambah derita mereka dengan polisi yang tidak sensitif terhadap realiti kehidupan harian rakyat bawahan.
“Peniaga kecil, yang menjadi tulang belakang ekonomi tempatan, wajar diberi sokongan dan insentif, bukannya ditekan dengan kenaikan kos operasi,” jelas yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bota, Perak.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan mekanisme subsidi bersasar yang lebih adil dan telus, tanpa menindas golongan berpendapatan rendah.
“Seharusnya kerajaan mendengar suara rakyat dengan mengadakan perbincangan bersama wakil industri kecil, persatuan peniaga dan NGO pengguna sebelum melaksanakan sebarang kenaikan harga,” katanya.
Katanya lagi, seluruh rakyat perlu terus peka dan bersuara terhadap sebarang bentuk keputusan yang membebankan, demi memastikan kesejahteraan rakyat tidak tergadai demi keuntungan. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











