
JASIN: Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail, bersama pimpinan Muafakat Nasional Melaka telah menyantuni golongan yang memerlukan apabila turun padang melawat penduduk Kampung Ayer Merbau, di sini 1 Jun lalu.
Turut hadir dalam lawatan berkenaan ialah Pengerusi dan Naib-naib Muafakat Nasional Melaka, Jailani Khamis dan Dr Shawn Loh Sheng Nian, serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, juga pimpinan yang lain.
Lawatan ini memberi peluang kepada para pemimpin untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk kampung, sekali gus mengenal pasti keperluan mendesak masyarakat setempat.
Menurut Tuan Guru Zulkifli, sebahagian penduduk masih merupakan penghidap penyakit kronik dan memerlukan perhatian khusus, sehubungan itu pihaknya telah mengatur penyediaan bantuan ubat-ubatan bagi meringankan beban mereka.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar ini,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka.
Antara bantuan yang disalurkan termasuklah beras, gula, minyak masak, telur, tepung, barangan dalam tin, serta pakaian baharu untuk kanak-kanak.
Zulkifli turut mengambil kesempatan untuk berkongsi mesej perpaduan dan keharmonian antara kaum, merujuk kepada ajaran al-Quran yang menyeru umat Islam agar sentiasa menjaga hak dan kehormatan sesama manusia tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, Dr Shawn yang juga merupakan Pengarah Khidmat Malaysia Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menyifatkan lawatan itu sebagai bukti keikhlasan khidmat kepada rakyat yang merentas sempadan kaum dan agama.
“Kami percaya nilai kemanusiaan dan kebersamaan ini adalah asas kepada kestabilan masyarakat,” ujarnya.
Inisiatif ini diyakini beliau mampu mewujudkan jaringan sokongan lebih kukuh antara pemimpin dan masyarakat, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan di peringkat akar umbi. – HARAKAHDAILY 4/6/2025











