Elak jadi mangsa penipuan haji, pilih syarikat diiktiraf

Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin menunaikan haji perlu terlebih dahulu memastikan bahawa syarikat mereka sertai adalah sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan tersebut.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ia susulan isu penipuan pakej haji dilihat berulang saban tahun, melibatkan jemaah tidak dapat berlepas ke Tanah Suci akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya hairan juga kalau isu ini setiap tahun ada kita tengok (berlaku). Saya yakin dan percaya orang-orang yang pergi ini orang yang tahu tentang apa syarikat yang mereka pergi itu.

“Itu benda yang perlu di tengok untuk mengelak (daripada ditipu). Kalau kita tak dapat nak pastikan perkara itu, kalau boleh kita jangan pergilah. (Ia akan) menyusahkan diri kita, menyusahkan keluarga kita, wang ringgit habis,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Justeru, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil serius dalam menangani isu berkenaan dan mengenakan hukuman berat kepada agensi pelancongan terlibat.

Semalam, hasrat kira-kira 80 jemaah untuk berlepas ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji terbantut apabila mereka dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka dikatakan telah dijanjikan visa mujamalah untuk ke Tanah Suci, namun disebabkan masalah teknikal pada sistem Nusuk, visa terbabit tidak dapat dikeluarkan.

Pihak agensi pelancongan yang terlibat walau bagaimanapun tetap memilih untuk menerbangkan jemaah menggunakan visa pelancong, menyebabkan mereka ditahan pasukan petugas khas di KLIA.

Mujamalah adalah visa dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi yang hanya diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu.

Ia tidak berkaitan dengan kuota haji rasmi yang diperuntukkan kerajaan negara berkenaan pada Malaysia. – HARAKAHDAILY 4/6/2025

- Advertisement -