
BACHOK: Penerapan nilai Islam dan pengabdian diri kepada tuhan menjadi intipati utama ceramah Komuniti Rabbani (K-Rabb) yang menjadi sebahagian pengisian dalam program Bina Ummah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Ustaz Haron Ismail berkata, kerajaan negeri melaksanakan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) di sekolah dan pengajian tinggi kelolaannya.
Malah katanya, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menerapkan penghayatan nilai agama terkandung dalam DPRK kepada komuniti, bukan hanya berlegar kalangan institusi pendidikan semata-mata.
“Tujuan K-Rabb ini nak terap penghayatan Islam pada komuniti kampung sebab kita sudah ada dipanggil DPRK, ini untuk pelajar, jadi nak suruh pergi ke bawah lagi benda ini kita buat ceramah ini.
“Dia ada modul, modul penyampaian dia pun dipelbagaikan dapat menarik perhatian, ceramah pun tidak panjang dan point penyampaian yang jelas dan mudah difahami komuniti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Bina Ummah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang yang diadakan di Kampung Temu Ranggas, Bukit Marak di sini semalam.
Ceramah K-Rabb disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajarnya, Ustazah Nor Azah Othman yang menyampaikan modul dirangka khas oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).
Program anjuran pejabat Timbalan Menteri Besar itu dilaksanakan semua 45 DUN di negeri itu membabit pengisian seperti, pameran agensi, sukan rakyat, kesenian dan kebudayaan dan banyak lagi.
Sementara itu Ahmad Nordin Yusif, 34, berkata, ceramah K-Rabb yang disampaikan oleh Ustazah Nor Azah Othman itu, dapat meningkatkan lagi kefahaman dan amalan dalam agama Islam.
Beliau berkata, menjadi komitmen kerajaan negeri untuk menerapkan kefahaman agama Islam dalam diri, malah agenda tersebut menjadi sebahagian dasar dalam pentadbiran sejak tahun 1990.
“Banyak perkara yang diterapkan oleh kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat dan budaya rabbani iaitu kita kenal tuhan dengan lebih dekat, kenali tuhan, jaga solat dan akhlak.
“Saya yakin ceramah yang disampaikan tadi memberi kesan kepada komuniti di kampung ini dan kefahaman rakyat terhadap Islam yang dibawa kerajaan dapat diperkukuhkan lagi,” katanya.
Dalam pada itu Marjan Mohammed Nawi, 59, berkata, modul penyampaian ceramah K-Rabb yang dirangka khas oleh Institut Latihan Darul Naim (ILDAN) mencetuskan perspektif baru pemikiran rakyat.
“Ceramah ini berkesan kerana dia cakap mengenai cara kita mendekati tuhan dan apa semua benda dalam agama Islam kita ini, dia memberitahu perkembangan semasa kepada rakyat di bawah ini.
“Jadi rakyat boleh jawab bila ditanya mengenai siapa Menteri Besar, siapa Exco, maknanya sampai ke tahap itu, kalau kita tanya orang, orang itu boleh jawab maknanya dia boleh terima,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











