Insan hebat bersama parti yang hebat

- Advertisement -

PENYERTAAN bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Convention & Exhibition (MyCEB) Dato’ Sri Dr Abdul Khani Daud, sebagai ahli PAS seumur hidup, membuktikan keyakinan beliau terhadap hala tuju serta perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

- Advertisement -

Sijil keahlian PAS seumur hidup beliau dan isteri disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Baling ke-66, di Dewan Yayasan Khairiah, semalam.

Sijil keahlian PAS seumur hidup yang diterimanya boleh juga dianggap hadiah yang amat bernilai selepas beliau bersara sebagai CEO MyCEB pada 21 April 2023 lalu.

Malah dengan kebersamaannya dengan parti ini, membuktikan PAS terus relevan menjadi pilihan golongan profesional, cendekiawan dan lain-lain.

Dato’ Sri Dr Abdul Khani mempunyai pengalaman yang luas dan telah berkhidmat selama 38 tahun dalam industri pelancongan dan acara perniagaan.

Beliau juga pernah diberi amanah sebagai Ketua Pengarah, 
Pusat Pelancongan Islam pada tahun 2018 hingga 2020. Malah berperanan penting membangunkan program Pengiktirafan Penginapan mesra Muslim, selain mewujudkan kesedaran global mengenai Malaysia sebagai destinasi pelancongan untuk pengembara Muslim.

Dato’ Sri Dr Abdul Khani juga merupakan perintis dalam sektor pelancongan di mana beliau memulakan kerjaya dalam Tourism Malaysia (TM) pada 1985 sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai Pemangku Ketua Pengarah.

Selepas itu beliau diberi amanah sebagai Pengarah Luar Negara untuk menjalankan pasaran global termasuk pejabat Tourism Malaysia di Australia, Singapura, Afrika Selatan dan Thailand.

Kepakaran dan cemerlangan beliau dalam pemasaran terbukti dengan peningkatan sebanyak 60 peratus ketibaan pelancong dari Singapura antara tahun 2000 hingga 2004.

Dalam tempoh perkhidmatannya juga pertumbuhan 45 peratus untuk Amerika Latin telah direkodkan dan membuka pasaran untuk Argentina

Dalam pada itu, beliau juga peneraju Global Meet 2006 ketika memegang jawatan sebagai Pengarah Pengiklanan Pelancongan Malaysia selama lebih sedekad.

Berikutan itu pada 2018, beliau diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Penganjur Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA).

Selain beliau salah seorang peserta yang menyertai Latihan Dalam Loji, di bawah Dasar Pandang Ke Timur di Jalpak, Jepun iaitu anak syarikat Japan Airline di Tokyo, pada tahun 1997.

Sebagai peneraju mapan yang telah berkhidmat dalam sektor pelancongan Malaysia selama lebih tiga dekad, Dato’ Sri Dr Abdul Khani ditugaskan untuk mengetuai industri acara perniagaan negara apabila beliau secara rasmi menjawat jawatan di MyCEB pada 5 Februari 2020 lalu.

Beliau juga merupakan pemimpin yang disegani dalam acara perniagaan global dan industri pelancongan berikutan kualiti kepimpinannya kukuh dan berjaya menerajui pelbagai projek tempatan dan antarabangsa.

Antaranya seperti kempen Meet in Malaysia, yang telah menjana anggaran impak ekonomi sebanyak RM1.05 bilion untuk negara dari tahun 2020 hingga 2022.

Beliau juga individu yang mencipta inisiatif 3R (reset, restart dan responsible), yang bertujuan untuk membantu pemain industri mencapai kejayaan maksimum.

Ahli PAS seumur hidup PAS Kawasan Baling itu juga antara yang  memainkan peranan penting dalam memudahkan perjalanan ke Malaysia di mana beliau telah membentuk Lorong Khas Acara Perniagaan di lapangan terbang utama untuk memastikan proses kemasukannya lancar.

Beliau juga terlibat sebagai Perancang Acara Perniagaan MySafe iaitu perancang digital untuk membantu dan membimbing perancang dan penganjur acara perniagaan antarabangsa.

Sementara itu, kepandaian dan kecekapannya, menjadikan beliau salah seorang penggerak di sebalik pelan 10 tahun iaitu Pelan Pemasaran Strategik Acara Perniagaan Malaysia 2021–2030.

Di mana diramalkan menjelang tahun 2030, acara perniagaan dijangka menyumbang RM42.12 bilion dalam anggaran impak ekonomi dan mewujudkan sekitar 25,833 jumlah pekerjaan di Malaysia.

Dato’ Sri Dr Abdul Khani juga terlibat sebagai pembimbing organisasi melalui beberapa penciptaan semula, termasuk bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian untuk mengesan semua aktiviti acara perniagaan yang sedang berlangsung di negara ini.

Termasuk beberapa acara besar seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), dan lain-lain.

Beliau juga pernah menyertai Perikatan Bandar Hibrid bersama-sama dengan 21 bandar lain di seluruh dunia yang membentuk Perikatan Konvensyen Asia bersama-sama dengan Thailand, Taiwan dan Korea untuk mengukuhkan industri perniagaan Malaysia dan rantau.

Justeru itu, insan hebat seperti ini, wajar bersama-sama parti yang hebat dan ternyata pilihannya untuk bersama PAS, adalah pilihan tepat. – HARAKAHDAILY 1/6/2025

- Advertisement -